Suka sangat baca novel ni. Dalam Mingguan Wanita yang muka depannya Puteri Sarah n Fida pun dalamnya ada novel ni punya segmen.
Apabila seorang hamba ALLAH telah beristeri atau bersuami, ia
telah menyempurnakan separuh agamanya. Separuh lagi hendaklah ia bertakwa
kepada ALLAH. Sebagai tanda kesyukuran dan ingin menghebahkan perkahwinannya
kepada masyarakat setempat dan kawan-kawannya, Kamal turut mengadakan majlis
perkahwinan di rumah emaknya.
Jemputan yang datang semakin
berkurangan apabila senja menjelang. Kanopi di halaman rumah pun sudah dibuka
dan dinaikkan ke atas lori kecil yang sedia menunggu dari tadi. Kamal sibuk
menaikkan kerusi-kerusi plastik ke atas lori. Apabila semua kerja di luar rumah
sudah selesai barulah dia masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke biliknya.
Sharina cepat-cepat mengesat air
matanya apabila mendengar ketukan di muka pintu. Dia masih di dalam pakaian
pengantinnya lengkap bertudung.
“Rin...” sapa Kamal tersenyum.
Muram wajah Sharina menggelisahkan hatinya.
“Abang... tolong hantar Rin balik
ke rumah emak Rin,” beritahu Sharina sambil memegang perut dan menekannya
sesekali.
“Hah, Rin nak balik?!” soal Kamal
lembut menyembunyikan perasaan terkejutnya. Permintaan Sharina itu meresahkan
hati lelakinya.
‘Semalam aku tidur seorang. Malam
ni takkan nak tidur seorang lagi?’ bisik Kamal. Rasa rindunya belum lagi
terubat. Tiga bulan dia memendam rasa. Kalau boleh malam pertama ini ingin
dinikmati di rumahnya.
“Pagi esoklah kita balik. Malam
ni kita tidur di sini...” Lembut Kamal memujuk sambil memegang jari kelengkeng
Sharina dan mengusap-ngusapnya perlahan.
Sharina menarik tangannya
perlahan. Keengganan Kamal menyebabkan hatinya semakin meruntun. Jika tidak
balik ke rumah emaknya, dia akan menghadapi masalah besar. Dia sedang senggugut
dan berasa tidak tenteram. Dia tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.
“Rin pergilah mandi,” suruh Kamal
pula. “Lepas mandi, salin baju tu. Tentu Rin rasa selesa sikit,” pujuk Kamal
lagi. Kamal meletakkan telapak tangannya di atas peha Sharina dan mengusapnya
perlahan.
“Abang... hantarlah Rin balik,”
tangis Sharina.
Kamal tidak tahu hendak menjawab
apa lagi. Berat hati untuk memenuhi
permintaan isterinya itu. Rasa rindunya belum sempat diubati lagi.
“Rin nak balik jugak,” rengek
Sharina. Dia malu hendak memberitahu Kamal masalah yang sedang dihadapinya.
Walaupun Kamal sudah menjadi suaminya, tetapi dia rasa janggal. Mereka belum
pernah beramah mesra. Baru bertemu dua kali dengan lelaki itu statusnya terus
bertukar menjadi isteri. Kenyataan itu sulit untuk diterima.
“Rin nak balik...” Sharina
merayu-rayu.
“Okey! Okey!” Kamal akhirnya
setuju. Terpaksalah dia mengalah demi isteri yang baru dinikahi.
“Rin, kenapa sebenarnya ni?” soal
Kamal lembut. Apabila melihat Sharina berkerut dahinya seolah-olah menahan
kesakitan hati Kamal berasa bimbang.
“Rin ada masalah orang perempuan
ya?” tebak Kamal.
Sharina terpaksa menganggukkan
kepalanya. Dia berasa malu. Malu sangat-sangat.
“Okey! Okey! Abang hantar Rin
balik... tapi tunggu abang solat maghrib dulu,” katanya lagi sambil menatap
wajah isterinya yang nampak pucat.
Sharina berasa lega. Sangkanya
Kamal akan memaksa dia tidur di rumah emak mertuanya pada malam itu.
“Nak ke mana
pulak tu, Kamal?” tanya Mak Cik Mariah apabila melihat Kamal mencari-cari kunci
keretanya.
“Nak hantar Rin balik, mak...”
beritahu Kamal tenang sambil merenung wajah emaknya.
“Amboi, takkan tak mahu tidur di
sini?” Mencerlung mata Mak Cik Mariah merenung Kamal kembali. Hatinya mula
membara dengan kelakuan anak menantu. Kamal yang berdiri tercegat
berhampirannya hanya berwajah tenang.
Sharina yang baru dua hari
menjadi menantunya memerap di dalam bilik sejak usai majlis kenduri petang
tadi. Langsung tidak membantunya mencuci pinggan mangkuk walaupun sebiji. Air
minumannya pun Kamal yang hantar ke dalam bilik. Ini menyebabkan hati Mak Cik
Mariah terus membengkak.
“Kerja kat rumah ni banyak lagi
yang belum selesai, Kamal! Walaupun kenduri kita pakai katering, tetapi pinggan
mangkuk yang mereka bawak tak cukup! Terpaksa guna pinggan mangkuk kita,”
beritahu Mak Cik Mariah.
Kamal pula berasa serba salah.
Memang tidak patut dia meninggalkan rumah pada ketika itu. Sudahlah emak dan
kak ngahnya bersusah payah untuk menyempurnakan majlis perkahwinannya. Namun,
dia berasa kasihan pula kepada isterinya yang sedang bersedih.
“Tak apa, mak. Saya hantar Rin
balik ke rumahnya. Bukannya jauh pun. Setengah jam dah sampai. Lepas tu, saya
balik ke sini semula. Rumah sana pun baru selesai kenduri jugak.” Kamal cuba
memberi alasan. Bimbang juga hatinya melihat keadaan Sharina yang sugul dan
muram. Mukanya juga nampak pucat.
“Agaknya Rin teringat pada
emaknya tak?” sampuk Ainun. Dia yang masih berbaju kurung berjalan ke sana sini
di ruangan dapur.
“Rin tak berapa sihat, kak
ngah...” beritahu Kamal.
“Alah, alasanlah tu! Tulah,
kahwin lagi dengan budak kecik,” ejek Ainun. Dia langsung tidak bersetuju
dengan keputusan adiknya berkahwin dengan Sharina. Tambahan pula Kamal membuat
keputusan untuk bernikah dengan gadis itu tidak lama selepas dia memutuskan
pertunangan dengan Rita. Nampak sangat macam Kamal sengaja menunggu peluang
untuk meleraikan ikatan pertunangan itu supaya dia dapat bernikah dengan
Sharina.
“Dia ada masalah, biarlah saya
hantar dia balik. Kan dia belum biasa lagi dengan famili kita. Dia rasa tak
selesa,” balas Kamal cuba membela. Mustahil dia memberitahu kepada emak dan
kakaknya yang isterinya itu sedang menghadapi ‘masalah orang perempuan.’
Ainun memuncungkan bibirnya.
Sharina sedang berjalan dengan langkah longlai menghampiri mereka. Dia berbaju
kurung kuning air dan bertudung putih. Sebuah beg pakaian terbimbit di tangan
kirinya.
“Rin dah siap?” tanya Kamal
sambil tersenyum mesra. Dia mengambil beg pakaian dari tangan Sharina.
Mak Cik Mariah dan Ainun sempat
mencebik sesama sendiri.
“Kenapa nak balik ni Rin?” tanya
Mak Cik Mariah dengan suara kuat.
Sharina terdiam dan tidak tahu
untuk menjawab apa. Suara tinggi emak mertuanya membuatkan dia semakin tidak
selesa.
“Rin... Rin...” jawab Sharina
tergagap-gagap. Dia memandang muka Kamal mengharapkan bantuan.
“Hai... kalau tak sanggup
berpisah dengan emak, tak usahlah menggatal nak kahwin,” sampuk Ainun dari
jauh.
Mendengar kata-kata kakak iparnya
itu, Sharina rasa hendak meraung. Ketidakrelaannya menerima pernikahan itu
semakin menebal. Dia dapat rasakan yang emak mertua dan kakak Kamal tidak
menyukai dirinya. Kamal yang telah menjadi suaminya pun tidak dapat dipastikan
sama ada benar-benar budiman seperti andaian abangnya.
“Oh, ya Rin... kenalkan yang ni
Abang Zarif. Dia ni suami kak ngah.” Kamal memperkenalkan abang iparnya kepada Sharina.
Zarif Afandi yang baru muncul
tersenyum lebar dan merenung anak mata Sharina dalam-dalam. Sharina yang kini berstatus
birasnya. Rupa paras wanita muda itu begitu memikat hatinya.
“Hai, selamat datang ke keluarga
ni,” kata Zarif Afandi.Setelah itu, dia beredar dari situ.
Sharina sudah tidak sabar untuk
segera pulang ke rumahnya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa bersalaman dengan emak
mertuanya sebagai tanda hormat.
“Rin pergi dulu, mak...” katanya
sambil menghulurkan tangannya kepada emak Kamal. Mak Cik Mariah menyambut
salamnya dengan muka masam.
“Nasib kaulah Kamal,” sindir
Ainun sebaik sahaja Kamal memasuki keretanya.
Kamal tidak mempedulikan
kata-kata kak ngah. Yang paling penting, Sharina sudah sah menjadi isterinya.
Bukan lagi menjadi igauannya.
“Kamal dan isterinya tu nak ke
mana pulak?” soal Zarif Afandi apabila melihat kereta Kamal sudah mulai
bergerak meninggalkan rumah mereka.
“Hantar isteri dia balik,” jawab
Ainun. “Awak nak makan?” tanya Ainun lagi apabila melihat Zarif Afandi sudah
mengambil pinggan.
“Naklah! Dari tadi saya belum
sempat makan asyik melayani tetamu,” jawabnya. “Tak sangka pula Kamal bernikah
secepat ni. Bertunang dengan orang lain. Bernikah dengan orang lain pulak, ya”
katanya lagi lalu menyambut mangkuk nasi yang dihulurkan oleh Ainun.
“Agaknya dia bimbang Rin terlepas
ke tangan orang lain!” sampuk Ainun. Beberapa ekor udang dilambakkannya ke
dalam pinggan nasi Zarif.
“Sharina tu cantik...” puji Zarif
meleret sambil tersenyum. Kecantikan yang dimiliki oleh birasnya itu mampu
mencairkan hati mana-mana lelaki.
Ainun menjeling tajam dan sempat
menarik telinga suaminya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan