Islam merupakan suatu cara hidup dan agama
yang mengawal serta menjaga seluruh aspek kehidupan umatnya. Isam
mengambil berat tentang kepentingan setiap penganutnya sama ada dalam
aspek fizikal, mental mahupun spiritual. Keseimbangan dan kecemerlangan
dalam ketiga-tiga aspek ini menjadikan seseorang itu muslim yang ideal
dan disukai oleh Allah swt.
Antara perkara penting yang kadang-kala dilupai oleh seseorang muslim
adalah dalam aspek penjagaan fizikalnya. Perlulah diigati bahawa
penampilan fizikal adalah dituntut dalam Islam sepertimana perlunya
memelihara kesempurnaan akal dan hati. Antara perkara yang perlu diambil
perhatian berkaitan kesihatan fizikal ini ialah tentang aspek
kebersihan dan penampilan diri.
Sesungguhnya Islam ialah suatu agama yang mementingkan aspek
kebersihan hati dan fizikal umatnya. Malah Islam merupakan agama yang
meletakkan aspek kebersihan sebagai antara perkara asas dan terpenting
dalam penerimaan sesuatu ibadah. Perkara ini dapat dilihat melalui
pembelajaran-pembelajaran ilmu fiqh dan hadith yang acap kali dimulai
dengan bab penyucian atau taharah. Malah kebersihan fizikal ini
merupakan lambang keimanan bagi seseorang muslim. Perkara ini
berdasarkan firman Allah swt: “Sesungguhnya Allah swt menyukai mereka
yang selalu bertaubat dan mereka yang selalu bersuci” (Surah al-Baqarah:
222). Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda: “Sesungguhnya
kebersihan itu sebahagian daripada iman”. (Hadith direkodkan oleh Imam
Muslim dalam Sahihnya).
Apabila membincangkan aspek kebersihan fizikal maka kita dapat
melihat bahawa Islam amat mengambil berat tentang hal ini. Contohnya
Islam mensyariatkan ibadah wudhuk sebelum daripada menunaikan solat sama
ada solat wajib mahupun sunat. Hal ini bertepatan dengan firman Allah
swt: “Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu semua menunaikan
solat maka basuhlah muka kamu, kedua tanganmu hingga ke siku, sapulah
kepala kamu dan basuhlah kaki kamu sehingga ke buku lali.” (Surah
al-Maidah: 6). Di samping itu Islam juga mensyariatkan beberapa ibadah
lain dalam memastikan umatnya berada dalam keadaan bersih seperti
bersiwak (berus gigi), mandi hadas, memotong kuku dan bulu, menyucikan
kemaluan setelah membuang air, memastikan pakaian dalam keadaan bersih
daripada najis, berkhatan dan sebagainya lagi. Kesemua ini diterangkan
oleh Islam secara jelas melalui nas-nas al-Quran mahupun hadith-hadith
Nabi saw. Malah segala penerangan ini tidak sama sekali diterangkan oleh
agama-agama lain. Perkara ini menunjukkan bahawa Islam adalah suatu
agama fitrah yang memelihara fitrah asal manusia yang menyukai kesucian
dan kebersihan.
Di samping memastikan fizikal seseorang muslim itu berada dalam
keadaan yang bersih, Islam juga menggalakkan umatnya untuk menjaga
kesihatan fizikal. Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda:
“Kejarlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara (antaranya)
gunakanlah masa sihatmu sebelum datangnya masa sakit.” (Hadith
direkodkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh
al-Albani). Dalam hadith ini menunjukkan bahawa Islam meletakkan
kesihatan umatnya sebagai antara perkara penting yang perlu dijaga dan
dipelihara. Sesungguhnya muslim yang sihat itu mampu melakukan
amalan-amalan soleh yang sama sekali tidak mampu dilakukan oleh muslim
yang berada dalam keadaan sakit. Malah apabila seseorang muslim itu
sakit maka beliau tidak mampu melaksanakan ibadah-ibadah seperti solat,
puasa, haji dan sebagainya secara sempurna. Lantaran itu setiap umat
Islam perlu memastikan mereka berada dalam keadaan yang sihat dan jika
diserang penyakit maka berubatlah scepat mungkin supaya ianya tidak
menjadi semakin parah.
Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda: “Mukmin yang kuat itu
lebih baik dan disukai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah dan pada
setiap seorangnya terdapat kebaikan.” (Hadith direkodkan oleh Imam
Muslim dalam Sahihnya). Hadith ini membawa maksud seseorang muslim yang
kuat imannya lebih baik dan dicintai oleh Allah swt berbanding muslim
yang lemah imannya. Namun hadith ini juga boleh difahami secara zahirnya
bahawa setiap mukmin yang kuat dalam segala perkara sama ada dalam
aspek fizikal, akal dan rohani itu lebih disukai Allah swt berbanding
seseorang mukmin yang lemah fizikal, akal dan juga rohaninya. Oleh
demikian seseorang muslim itu perlulah memastikan bahawa tubuh badannya
itu kuat dan sihat dan pada masa yang sama tidak menafikan keperluan
kekuatan akal dan rohani dalam kehidupan.
Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda: “Sesungguhnya bagi jasad
kamu itu keperluannya.” (Hadith direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam
Sahinya). Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa Nabi saw menyuruh
umatnya supaya memberikan hak-hak yang sepatutnya kepada tubuh badan.
Hal ini termasuklah dari aspek pemakanan dan juga rehat yang mencukupi.
Namun perkara ini kadang kala dipandang remeh oleh umat Islam masa kini.
Jika dilihat kepada aspek pemakanan maka boleh dibuat kesimpulan bahawa
kita dilimpahkan rezeki oleh Allah swt dengan pemberian nikmat makanan
yang cukup lazat dan melimpah ruah. Namun pada masa yang sama apabila
tabiat pemakanan ini tidak dijaga maka ianya boleh mengundang pelbagai
jenis penyakit.
Di samping itu bagi memastikan kesihatan badan terjaga maka seseorang
muslim itu perlulah memastikan stamina dan tubuh badannya berada dalam
keadaan yang baik. Stamina yang tinggi akan melahirkan kekuatan pada
tubuh badan manusia. Firman Allah swt: “Dan bersedialah kamu semua
dengan apa yang kamu mampu dari segi kekuatan” (Surah al-Anfal: 60).
Dalam ayat ini Allah swt memerintahkan umat Islam supaya mengumpul
kekuatan dan antara kekuatan utama ialah kekuatan fizikal yang boleh
dimanfaatkan untuk agama.
Di samping menjaga pemakanan dan bersukan umat Islam juga diwajibkan
untuk meninggalkan segala bentuk amalan buruk yang boleh memberi
kemudharat kepada tubuh badan. Sesungguhnya setiap perkara yang membawa
kepada kemudharatan hukumnya adalah haram di dalam Islam. Firman Allah
swt: “Dan janganlah kamu semua mencampakkan diri kamu ke dalam
kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah menyukai mereka yang
membuat kebaikan.” (Surah al-Baqarah: 195). Dalam ayat ini Allah
melarang hamba-hamba-Nya daripada menjerumuskan diri ke lembah
kebinasaan. Hal ini termasuklah melakukan sesuatu perkara yang boleh
menghasilkan kemudharatan kepada tubuh badan seperti berzina, minum
arak, makan daging khinzir, menagih dadah dan sebagainya lagi.
Antara perkara yang boleh memudharatkan tubuh badan manusia ialah
merokok. Sepertimana yang kita ketahui bahawa merokok telah difatwakan
haram oleh majlis fatwa kebangsaan dan juga majlis fatwa di setiap
negeri. Pengharaman rokok ini disebabkan ia memberi kemudharatan kepada
penghisapnya di samping membawa kepada pembaziran yang sia-sia. Malah
kajian perubatan telah menunjukkan bahawa asap rokok yang disedut dan
dilepaskan boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan merupakan penyebab
utama kepada penyakit kanser. Justeru sewajarnya setiap umat Islam sedar
akan bahayanya merokok malah seseorang yang merokok itu telah dianggap
berdosa di hadapan Allah swt kerana mencampakkan dirinya dan masyarakat
sekitarnya kepada kemudharatan.
Kesimpulannya Islam menuntut umatnya untuk menjaga kesihatan diri
sama ada dalam aspek kebersihan mahupun penjagaan tubuh badan daripada
serangan penyakit. Di samping itu umat Islam diwajibkan untuk
meninggalkan segala perkara yang membawa kepada kemudharatan tubuh
badan. Sesungguhnya tubuh badan yang sihat menggambarkan kehidupan
seorang muslim yang ideal dan pada masa yang sama disayangi oleh Allah
swt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan