Tips ini saya dapat dari blog ini --- > http://zakaria-sungib.blogspot.com/. Sedang saya ketandusan idea menghasilkan manuskrip, saya jenguk beberapa blog penulisan novel. Alhamdulilah, saya dapat tips ini.
Dalam satu perkongsiannya di Page FB 'Saya Tunggu Awak', Bonda Nor menulis antara ayat-ayat akhirnya, "Untuk yang berhajat menulis, mintalah ilham dan idea dari Allah. Hanya Dia yang berkuasa menunaikan segala permintaan kita sebagai hamba-Nya."
Pendatang baharu dunia novel itu berkongsi pengalaman beliau menghasilkan manuskrip Saya Tunggu Awak,
 novel setebal 640 halaman yang saya yakin bakal memberi impak dan 
fenomena tersendiri kepada dunia novel tanah air, khususnya untuk para 
penggemar karya dakwah. 
Ayat-ayat
 Bonda Nor itu, dan perkongsiannya mengenai amalan bangkit pukul tiga 
pagi untuk menulis novel, mengingatkan saya kepada kata-kata Prof Muhd 
Kamil Ibrahim (Anekdot Madinah, Bersyukur Saat Diuji) pada
 hari terakhir sebelum beliau berangkat pulang ke Madinah pada akhir 
Ogos lalu, selepas 'road tour' seluruh Malaysia. Waktu itu kami 
sama-sama menikmati jamuan raya di kediaman Dato' Zaini, salah seorang 
pensyarah Universiti MKI yang juga salah seorang penulis buku Ilmu Kehidupan: Ringkas Tapi Signifikan.
 Kata Prof Kamil, "Kalau saya nak buat kursus penulisan, saya akan 
tekankan supaya penulis bangun pukul tiga pagi dan minta idea menulis 
daripada Allah."
Penulis
 yang berhajat untuk menghasilkan karya dakwah, yang menulis untuk 
mengajak orang kepada Allah, atau ringkasnya berdakwah melalui 
penulisan, lebih patut meminta idea daripada Allah. Malah sangat patut 
dia mengusahakan datangnya rahmat dan keberkatan daripada Allah. Tentu 
pelik jika kita tidak meminta pertolongan Allah dalam berbuat sesuatu 
untuk dan kerana-Nya. Tentu janggal jika kita tidak mengharapkan 
limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah dalam mengajak diri dan 
orang lain kepada-Nya. Dalam banyak-banyak amalan yang boleh mengundang 
rahmat dan keberkatan daripada Allah, khususnya dalam menulis, bangun 
malam adalah antara yang paling utama kerana itulah waktu yang 
suasananya paling syahdu untuk meminta kepada-Nya dan waktu Allah sangat
 berkenan memenuhi permintaan seorang hamba.
"Biasanya
 selepas Isyak saya sudah tidur," tulis Bonda Nor, nama pena bagi Puan 
Norli, "dan terjaga semula untuk mula menghadap komputer pada jam 3 
pagi... Alhamdulillah, dalam tempoh lebih kurang 3 bulan, saya selesai 
menyiapkan jalan ceritanya secara keseluruhan." 
Amalan
 bangun malam untuk menulis, dan tentunya untuk sujud, bermunajat dan 
memohon kepada Allah, patut menjadi amalan penulis yang mahu serius 
menyampaikan dan menyebarkan kebaikan kerana Allah. Kalau ada satu 
disiplin yang penulis patut jadikan rutin, khususnya sewaktu 
menghasilkan karya, ia adalah rutin bangun malam untuk menulis.
Saya
 sendiri masih bermujahadah untuk merutinkan bangun malam ini. Cuma 
berdasarkan sedikit pengalaman berkarya secara bermusim, antaranya 
sewaktu giat menulis skrip sitkom untuk televisyen satu ketika dulu, 
saya boleh katakan, sangat besarnya manfaatnya apabila penulis dapat 
mewajibkan dirinya bangun malam untuk menulis. 
 
 
 


Tiada ulasan:
Catat Ulasan