بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi
Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Ia termasuk antara
bulan-bulan yang dihormati sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.”
(Surah at-Taubah: 36)
Empat bulan yang dihormati yang tersebut dalam ayat di atas ialah
Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Manakala diriwayatkan oleh Abi
Bakrah Radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana bentuknya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Setahun ada dua belas bulan. Antaranya terdapat empat bulan yang dihormati, Tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan Sya‘ban.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam bulan Muharram ini terdapat satu tarikh yang dianggap istimewa
iaitu tarikh 10 Muharram yang juga dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Pada
tarikh ini banyak berlaku peristiwa-peristiwa penting, antaranya Nabi
Adam ‘alaihissalam bertaubat kepada Allah sehingga dia kembali suci,
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa ‘alaihissalam dan
lain-lain peristiwa yang dapat dijadikan iktibar bagi umat Islam.
Di samping keistimewaan hari ‘Asyura’ yang berlaku di dalamnya
peristiwa-peristiwa penting, hari ‘Asyura’ juga merupakan peluang untuk
meraih ganjaran amalan-amalan yang disunatkan untuk dilakukan pada hari
tersebut.
Amalan Yang Disunatkan Pada Hari ‘Asyura’
Di dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada
disebutkan mengenai amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari
‘Asyura’ serta fadhilat yang diperolehi bagi sesiapa yang melaksanakan
amalan-amalan tersebut. Amalan yang dimaksudkan ialah melakukan ibadah
puasa dan menyenangkan hati kaum keluarga.
1. Puasa pada hari ‘Asyura’
Hukum berpuasa pada hari ‘Asyura’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat
yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam
hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan
daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:
Maksudnya:
“Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam.”
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan:
Maksudnya:
“Aku tidak melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa
pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang
selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Asyura’, dan bulan ini iaitu
bulan Ramadhan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari
‘Asyura’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas
peluang melaksanakan tuntutan sunat ini. Antaranya:
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum, katanya:
Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman, dia
mendengar Muawiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari
‘Asyura:
Maksudnya:
“Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Asyura’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barangsiapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah”.
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari
‘Asyura’. Setentunyalah dengan galakan daripada Baginda Shallallahu
‘alaihi wasallam sendiri, peluang seumpama ini tidak dilepaskan oleh
umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada
mereka yang melakukan puasa hari ‘Asyura’. Fadhilat berpuasa hari
‘Asyura’ disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah
Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“… Berpuasa pada hari ‘Asyura, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).”
(Hadis riwayat Muslim)
Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:
i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Asyura’.
ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Asyura (iaitu bermula dari hari ‘Asyura’ sebelumnya).
Didahului Dengan Puasa Tasu‘a’ (9 Muharram)
Bagi orang yang hendak berpuasa sunat pada hari ‘Asyura’ sunat
mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ iaitu pada 9 Muharram.
Hikmah di sebalik mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ ialah:
a. Sebagai langkah berhati-hati pada pengiraan awal bulan Muharram. Ini
kerana ditakuti jika berlaku sedemikian, maka kemungkinan sahaja hari
yang dikira sebagai Tasu‘a’ adalah sebetulnya hari ‘Asyura’.
b. Agar umat Islam tidak menyerupai orang Yahudi yang berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja.
c. Menyambung puasa hari ‘Asyura’ dengan satu hari puasa yang lain
kerana tegahan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa satu
hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun
begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada
hari ‘Asyura’
Meneruskan Puasa Hingga 11 Muharram
Apabila seseorang melaksanakan puasa hari ‘Asyura’, sunat juga
menggandingkannya dengan berpuasa pada 11 Muharram, walaupun dia tidak
melakukan puasa hari Tasu‘a’.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Puasalah kamu pada
hari ‘Asyura dan janganlah kamu menyerupai padanya dengan orang Yahudi.
Puasalah kamu (dengan puasa ‘Asyura) sehari sebelumnya atau sehari
selepasnya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Berdasarkan penjelasan di atas, terdapat beberapa cara melakukan puasa hari ‘Asyura’ iaitu:
i. Berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja.
ii. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram) dan pada hari ‘Asyura’.
iii. Berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan pada 11 Muharram.
iv. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram) , hari ‘Asyura’ dan 11
Muharram. Gandingan berpuasa tiga hari ini (9,10,11 Muharram) adalah
digemari sebagaimana yang disebutkan oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah.
2. Menyenangkan hati kaum keluarga
Selain daripada melakukan puasa pada hari ‘Asyura’, orang Islam juga
disunatkan menyenangkan dan menggembirakan hati kaum keluarga.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang melapangkan (menyenangkan) keluarganya pada hari ‘Asyura, Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Apa yang dimaksudkan dengan ‘melapangkan’ atau ‘menyenangkan’ di dalam
hadis di atas adalah berbelanja pada makanan dan minuman lebih daripada
hari biasa serta menggembirakan anak-anak contohnya dengan menghulur
belanja lebih dan yang seumpamanya.
Selain daripada ahli keluarga, maksud menyenangkan di dalam hadis di
atas termasuk juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang
miskin dengan syarat apa yang dilakukannya itu tidak membebankan
dirinya. Adapun apa yang selain daripada dua perkara di atas seperti
sembahyang malam ‘Asyura’, mandi hari ‘Asyura’, bercelak mata dan yang
lainnya tidaklah ada disebut melainkan pada hadis-hadis dhaif, munkar
dan maudhu‘.
Marilah kita bertekad untuk mengisi hari ‘Asyura’ yang datang sekali
setahun di bulan Muharram ini dengan mengambil iktibar peristiwa yang
berlaku pada tarikh tersebut dan melaksanakan apa yang dianjurkan oleh
syara‘.
Berpuasa serta menyenangkan hati keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim
dan orang-orang miskin pada hari ‘Asyura’ ini adalah amalan yang tidak
boleh dilepaskan fadhilatnya begitu sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan