Hari ini saya meluangkan sedikit masa untuk berkongsi
dengan anda bagaimana caranya anda mahu mula menulis sebuah novel. Ini kerana
ada segelintir yang saya lihat agak keliru dan ‘lost’ untuk membina rangka yang
perlu untuk menghasilkan satu novel yang rapi dan kemas.
Apa-apa juga kerja haruslah
dimulakan dengan perancangan yang baik termasuklah menulis novel. Jika anda
tidak merancang penulisan dengan baik, besar kemungkinan karya anda akan
ditolak atau dirombak secara besar-besaran. Ini sesuatu yang cukup merugikan
masa dan tenaga anda. Oleh itu, buat penulis-penulis muda, mari kita teliti
perkara di bawah supaya anda nampak jelas hala tuju anda untuk merangka sebuah cerita
yang menarik.
Bagaimana Mahu Mula Menulis
Novel?
1. Mencari Inspirasi - Menulis novel ialah satu proses kreatif. Kita tidak akan tahu bila idea itu akan muncul. Maka, anda disarankan untuk membawa buku nota dan sebatang pen ke mana-mana sahaja anda pergi. Anda mungkin akan tertarik dengan satu berita di surat khabar atau terjumpa satu karektor yang menarik di sebuah kedai kopi atau teruja melihat sebatang pokok yang rimbun di tepi sebuah tasik. Tuliskan perkara-perkara yang menarik minat anda. Mereka mungkin berguna untuk penulisan anda satu hari nanti. Anda boleh menulis satu perkataan, beberapa ayat atau perenggan mengenai apa yang menarik perhatian anda.
Selain
itu, anda juga boleh mengimbas kembali kisah-kisah yang diceritakan oleh
orang-orang di sekeliling anda seperti ibu, bapa, nenek, datuk, kawan atau
saudara mara.
Kenang
kembali beberapa peristiwa ketika kecil, remaja dan dewasa yang mungkin boleh
dijadikan bahan yang menarik di dalam novel anda.
Perhatikan
sikap, tingkah laku dan watak-watak di sekeliling anda. Perangai kawan
sepejabat atau sekolah, mimik muka, gerak tubuh badan dan aura yang mereka
miliki.
Semua
elemen-elemen ini boleh membantu anda untuk mendapatkan inspirasi untuk
memulakan penulisan.
2.
Pemilihan Genre - Sebelum memulakan penulisan, pilihlah genre
yang anda minati dan sasaran pembaca anda. Baca dan buat kajian tentang
genre-genre yang sama untuk mendapatkan ‘feel’ yang sesuai. Ia juga bertujuan
untuk anda membuat perbandingan akan gaya bahasa dan cara penulisan penulis
lain di dalam genre yang sama. Pastikan anda menulis lebih baik lagi setelah
membuat kajian tersebut. Pastikan juga jalan cerita dan tema anda adalah lain
daripada yang sedia ada di pasaran.
Novel-novel
sastera selalunya mempunyai tema yang agak berat dan bahasa yang sarat dengan simbolisme
dan ayat-ayat yang agak kompleks.
Novel
popular atau komersil dihasilkan untuk menghiburkan pembaca dan terdiri di dalam
pelbagai genre seperti misteri, sains fiksyen, chic-lit, fantasi, cinta,
kekeluargaan, sejarah dan banyak lagi. Novel jenis ini biasanya laris di
pasaran.
3.
Pemilihan Latar – Setelah
anda menentukan genre, sudah tiba masanya anda memilih latar yang sesuai. Pilih
pekan, negeri, negara atau latar yang boleh menentukan ‘mood’ watak dan cerita
anda. Latar juga boleh direka mengikut kesesuaian cerita. Fikirkan di mana
watak anda tinggal, samada mereka tinggal di negeri atau daerah yang sama atau
berlainan, juga durasi masa yang untuk keseluruhan cerita.
4.
Pemilihan Watak – Watak
yang utama sudah tentulah watak seorang protagonis. Watak utama tidak
semestinya satu watak yang baik atau disukai ramai tetapi wataknya harus boleh
dikenalpasti atau boleh didapati di sekeliling kita. Dalam erti lain, satu
watak yang ‘relatable’ buat pembaca iaitu ketika mereka membaca mereka
merasakan watak itu pernah mereka lihat atau pernah dialami sendiri di dalam kehidupan
seharian.
Watak
utama juga haruslah mempunyai ciri-ciri yang boleh memberikan inspirasi buat
pembaca. Jika seorang wanita atau gadis, pilihlah watak yang menunjukkan dia
seorang wanita atau gadis yang kuat semangat, cekal, hebat dan bukannya wanita
atau gadis yang lemah dan tidak berdaya. Tidak ada apa yang menariknya jika
watak kita ialah satu watak yang lemah dan tidak mempunyai personaliti dan buah
fikiran yang bagus.
Selain
itu, anda juga harus mengujudkan watak-watak sampingan atau pembantu yang boleh
menggerakkan cerita. Pastikan setiap watak itu mempunyai sifat dan pemikiran yang
berlainan dan cara bercakap yang berbeza. Ini anda boleh tonjolkan di dalam
naratif dan dialog.
5.
Plot – Pastikan kisah
anda mempunyai konflik. Ada naik turun dan ada klimaksnya. Cerita yang mendatar
tidak mampu menarik minat pembaca untuk membaca sampai habis. Pastikan juga
setiap konflik yang ada diselesaikan di hujung cerita.
Anda
boleh menulis mengikut kronologi, imbas kembali atau ke belakang atau ke
hadapan mengikut plot yang anda rangka.
6.
Sudut Pandang Watak
(POV) – Kebanyakan novel dihasilkan dengan sudut pandang ketiga dan pertama. Sudut
pandang ketiga ialah sudut pandang watak daripada satu perspektif luaran, manakala
sudut pandang pertama ialah satu sudut pandang yang yang diceritakan melalui watak
utama itu sendiri iaitu ‘aku’.
7.
Bermula Tanpa Perancangan – Selain merancang
semua perkara-perkara yang disebutkan di atas, anda juga boleh memulakan sebuah
kisah dengan cara yang tidak dirancang. Mungkin ketika anda terlihat beberapa
orang bergaduh di sebuah pasaraya atau ketika anda terdengar satu perbualan di antara
jiran tetangga yang memungkinkan anda mahu menukilkan sesuatu dengan segera.
Namun, lebih baik anda merangka keseluruhan plot selepas itu supaya idea anda tidak
lari dan lebih tersusun. Dengan cara ini, hasil kerja anda akan lebih mantap
dan kemungkinan untuk ia diubah, dirombak dan dicantas oleh editor adalah
sedikit sahaja. Perancangan yang tersusun dan teliti akan menghasilkan kerja
yang juga kemas dan enak untuk dibaca. Anda juga tidak akan merugikan masa anda
membetulkan manuskrip beberapa kali kerana kelemahan plot dan jalan ceritanya.
Selamat Menulis!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan