Rabu, 1 April 2015

Bakat, Minat dan Kesungguhan

Bakat, Minat dan Kesungguhan

Selalu saya tekankan dalam bengkel-bengkel saya bahawa seseorang itu tidak akan tahu dia ada bakat menulis atau tidak selagi dia belum menghasilkan tulisan - artikel, cerpen, novel atau buku. Hanya setelah tulisannya siap dan dia kongsikan tulisan itu dengan orang lain, barulah dia akan mendapat keyakinan diri dan menerima maklum balas berhubung dengan bakat penulisannya.

Bakat (talent) kadang-kadang hanya disedari oleh empunya diri pada lewat usia. Namun, ramai yang mula menyedarinya pada awal usia remaja lagi dan mempunyai masa yang panjang mengembangkan bakat itu. Semua bergantung pada sama ada bakat itu dilahirkan dan digilap atau tidak.

Enid Blyton hanya mula produktif menulis novel kanak-kanak dan remaja pada awal usia 40-an. Sebelum itu beliau menulis novel dewasa tetapi tidak menjadi. Bermakna, beliau hanya menyedari bakatnya menulis novel remaja dan kanak-kanak pada usia agak lewat, tetapi beliau gunakan baki usia untuk menulis sebanyak mungkin novel.

Dengan bakat, seseorang itu cepat belajar dan kuasai satu-satu kemahiran. Tinggi, sederhana atau rendah bakatnya menentukan cepat atau lambat dia menguasai bidang kemahiran itu.

Dengan hanya bakat menulis, penulis mampu mengolah tulisan dengan baik dan menggunakan bahasa yang tersusun. Bagaimanapun, penulis memerlukan bakat lain untuk menulis karya-karya fiksyen umpamanya. Misalnya, untuk menulis novel, penulis memerlukan bakat bercerita. Untuk menulis novel kanak-kanak atau novel remaja, penulis memerlukan bakat untuk bercerita kepada kanak-kanak dan remaja.

Penulis yang mempunyai bakat yang cukup tinggi mampu menulis dengan baik dalam semua genre. Bagaimanapun, dengan bakat menulis yang biasa-biasa saja pun, seseorang itu boleh menulis dengan baik apabila dia memfokus pada satu-satu genre penulisan. Dia hanya perlu kepada tiga perkara: tujuan yang jelas, minat yang mendalam dan kesungguhan.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...