Rabu, 1 April 2015

Mengatasi gangguan minda sewaktu menulis

Apabila sudah duduk menulis, penulis perlu fokus sehingga dia selesai menulis. Oleh itu, penulis perlu menolak tepi apa-apa perkara yang mungkin menimbulkan gangguan pada proses menulis. Gangguan yang tidak dijangka mungkin berlaku dan tidak dapat dielakkan, tetapi gangguan lain boleh cuba dihindari. Antara banyak-banyak gangguan, paling mustahak dihindari adalah gangguan minda.

Ramai penulis mungkin boleh menghadapi gangguan bentuk lain asalkan bukan berbentuk gangguan minda. Allahyarham Usman Awang misalnya, boleh duduk mengarang dengan lancar walaupun dikelilingi suasana sibuk orang lalu-lalang di sekitar tempat kerjanya.

Bagaimanapun, sukar bagi mana-mana penulis untuk terus menulis dengan lancar apabila menghadapi gangguan minda kerana kerja menulis itu hakikatnya adalah kerja yang menggunakan minda. Tangan akan terhenti menaip apabila minda terganggu atau idea yang mengalir dalam kepala tersekat.

Gangguan minda mungkin berupa fikiran bercabang. Ada perkara lain yang menjadi tumpuan berfikir. Apa-apa perkara yang mungkin mengganggu minda semasa kita sedang menulis ini perlu diketepikan. Bagi penulis, cerpenis dan novelis, Hj Abu Hassan Morad, beliau tidak akan membaca surat khabar atau menonton TV apabila hendak menulis, khususnya mengarang novel atau menulis skrip. Beliau mengenal pasti berita dan perkembangan isu semasa yang datang dari media sebagai perkara yang boleh mengganggu mindanya sewaktu beliau menulis. Maka, awal-awal lagi beliau menolak tepi surat khabar sebelum duduk menulis.

Penting untuk kita mengenal pasti perkara-perkara yang boleh mengganggu minda, seterusnya menjadikan proses menulis tidak lancar. Kalau telefon bimbit boleh mengganggu minda, mungkin telefon bimbit perlu dimatikan atau disenyapkan sewaktu hendak duduk menulis. Kalau kita jenis orang yang ketagih membaca dan menulis e-mel, mungkin kita perlu putuskan talian wi fi di komputer sebelum mula mengetik dan meluncurkan idea di depan komputer

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...