Ahad, 17 November 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 6)


Terjojol mata Ainun apabila mendengar cerita emak tentang hajat Kamal yang ingin meminang adik kawan baiknya dan menikah dalam tahun ini juga. Luahan hati emaknya yang tidak puas hati dengan Kamal turut menyemarakkan rasa marahnya.
“Melampau betul dia! Emak, tak usah emak ikut kehendaknya tu! Kahwinkan jugak dia dengan Rita,” sanggah Ainun. Padanya, Rita itu sudah cukup sesuai untuk Kamal.
“Nak kahwinkan dengan Rita? Kau tak ingat ke yang pertunangan mereka dah putus?” bentak Mak Cik Mariah pula. Pelik pula dia dengan cadangan anak keduanya itu. Seolah-olah tidak memahami situasi perhubungan Kamal dan Rita.
“Alah, mak... Alangkan tali yang putus pun boleh disambung dan diikat balik,” balas Ainun. Dia tetap berkeras menjadikan Rita sebagai adik iparnya.
“Emak bincanglah balik dengan Mak Cik Rokiah. Dengan Rita. Emak pujuk Rita supaya dia pujuk Kamal semula,” sambung Ainun lagi terus memberi cadangan.
“Amboi, mudahnya kamu bercakap Nun! Kamu ingat adik kamu, Kamal tu tali pengikat kerbau kambing ke? Boleh pula nak sambung-sambung. Kalau didengar adik kamu nanti, baru kamu tahu!” marah Mak Cik Mariah.  Keceloparan mulut Ainun memang difahaminya. Kadangkala dia sendiri tidak tahan dengan penangan mulut anaknya itu, tetapi apalah yang hendak dikatakan lagi.  Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke pinggan nasi? 
“Habis tu, emak setujulah nak pergi meminang budak tu?” soal Ainun bersungguh-sungguh. Daripada cerita emaknya nampak Kamal tidak sabar-sabar lagi hendak bernikah dengan adik kawannya itu.
“Dengan Kamal, memanglah emak dah kata setuju,” jawab Mak Cik Mariah perlahan. Disebabkan Kamal sudah menyebutkan perkataan ‘mati’ terpaksalah dia mengikut kehendak anaknya itu.
“Tapi...”
“Tapi hati emak tetap inginkan Rita menjadi menantu emak, kan?” tebak Ainun.  Dia sudah dapat membaca isi hati emaknya itu.
“Emak bukannya apa, Nun. Rita tu dah biasa sangat dengan kita. Dia dah kenal sangat dengan hati emak. Hati kamu,” sampuk Mak Cik Mariah.
“Habis tu, sekarang ni apa keputusan emak? Nak pergi meminang ke tak? Nun bukannya boleh balik ke Ipoh setiap minggu! Johor dan Ipoh bukannya dekat, mak!” tukas Ainun.
“Tapi emak, Nun tak setujulah dengan kehendak Kamal. Macam ada yang tak kena saja. Buatnya jadi umpat keji orang kampung nanti macam mana?” tanyanya pula. Mulalah fikirannya meneka perkara yang bukan-bukan.
“Nun! Kamu jangan nak tuduh adik kamu buat perkara yang tak elok! Kalau didengarnya nanti, haru! Mahu dia tak mengaku kamu tu kakaknya,” pintas Mak Cik Mariah sambil memberi amaran. 
Ainun yang mendengar ketawa mengilai. “Macam mana, mak? Jadi ke nak pergi meminang tu? Sebab Nun ni kena pakat-pakat dengan Abang Zarif sebelum balik ke Ipoh” terang Ainun.  Suaminya Zarif Afandi, pantang kalau dia melakukan sesuatu pada minit-minit terakhir. Alamat seharianlah dia terpaksa menadah telinga mendengar leteran.

“Nantilah emak fikirkan masak-masak. Ada apa-apa hal nanti emak telefon kamu semula,” ujar Mak Cik Mariah lalu menekan butang merah di telefon bimbitnya. Sama macam Ainun, dia juga merasakan tindakan Kamal membuat keputusan secara tiba-tiba dan ingin bernikah segera itu bagai ada sesuatu yang tidak kena. Hatinya menjadi libang libu.

                                                               ~ ~ bersambung ~~

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...