Ahad, 17 November 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 7)



Hati Sharina terus diasak pilu. Sejak petang tadi, dia berkurung di dalam bilik. Baru beberapa jam tadi keluarga Kamal pulang. Dia yang sedang bersenang-lenang menonton televisen terkejut besar apabila melihat tiga buah kereta memasuki halaman rumah. Hisham pula tergesa-gesa menyuruhnya masuk bilik. 
Dia sempat mengintai. Ramai pula tetamu yang datang.  Hairan juga kenapa emak dan abangnya tidak menyuruh dia menyediakan juadah untuk tetamu mereka pada petang itu! Sekali lagi dia terkejut besar apabila Hisham memasuki biliknya dan memberitahu emak Kamal hendak menyarungkan cincin.
Bagai hendak tercabut jantungnya saat itu. Rupa-rupanya ada rancangan jahat untuknya! Sharina menarik nafas dalam-dalam. Perasaan geram dan hibanya bertimpa-timpa. Bola matanya terlontar pada beberapa dulang hantaran yang tersusun di atas katilnya. Terkenang pula pertengkarannya dengan Hisham sebaik sahaja rombongan meminang beredar dari rumah.
“Abang! Kenapa tak beritahu Rin keluarga Abang Kamal nak datang meminang Rin?” pekiknya sambil menangis. Dia menerpa ke arah Hisham lantas menampar-nampar bahu abangnya dengan perasaan geram.
“Rin mesti kahwin dengan kawan abang, tu...” kata Hisham.
“Rin muda lagi!” Dia terus merenung abangnya dengan penuh harap permintaannya akan dituruti.
“Nak tunggu bila?” soal abangnya sambil membeliakkan biji mata.
“10 tahun lagi, bolehlah!” katanya pula. Bukannya dia menolak mentah-mentah kehendak abangnya, tetapi buat waktu ini dia belum bersedia. Dia takut dan berasa ngeri apabila mendengar perkataan kahwin.
“Siti Aishah, isteri Rasulullah tu bernikah sewaktu usianya sembilan tahun,” sanggah abangnya. “Kamal tu akan jadi suami yang baik. Abang dah kenal dia lama, Rin...” pujuk Hisham.
“Tapi, Rin tak nak kahwin lagi! Rin nak jaga emak! Abang tolonglah!” rayunya berulang kali dengan deraian air mata. “Rin tak boleh terima Abang Kamal sampai bila-bila kalau abang nak paksa Rin kahwin dengan dia! Nanti kalau dah kahwin dengan Abang Kamal, Rin akan buat perangai!” ugutnya.
“Keputusan abang muktamad. Rin mesti bernikah dengan Kamal. Dalam tempoh pertunangan ni, Rin siapkan diri Rin untuk memikul tanggungjawab seorang isteri. Kalau Rin betul-betul sayang abang dan emak... Rin dengarlah keputusan kami.” Lembut suara Hisham memujuk.
“Abang takkan lepaskan Rin kepada lelaki yang tidak elok, tidak baik, tidak beriman! Tolonglah, Rin... jangan bantah pilihan abang.
Abang akan nikahkah Rin dah Kamal sebelum kami berangkat ke Tanah Suci. Kalau tak, siapa yang akan jaga keselamatan Rin kat sini? Rin tu perempuan! Takkan nak pergi menumpang kat rumah jiran-jiran atau saudara-mara pula! Kalau rumah jiran tu ada anak-anak lelaki bujang? Rin dah tahu risikonya, kan?”
“Jadi memang abang dah berniat nak kahwinkan Rin sebelum abang pergi ke Mekahlah? Kalau Abang Kamal tak kenal dengan Rin dan tak pinang Rin... abang akan pinang mana-mana lelaki lain untuk jadi suami Rinlah?” tanyanya dengan rasa marah.
“Sharina! Jangan cakap dengan abang macam tu, nak!” sampuk emak mereka dari jauh.
Hisham menghampiri dan memeluk adiknya yang sedang tersedu-sedan. “Abang mahukan yang terbaik untuk Rin. Jodoh dan pertemuan di tangan ALLAH. Kamal kata, dia dah jatuh cinta pada Rin sejak kali pertama dia lihat Rin. Dia ikhlas ingin memperisterikan Rin. Masakan Rin lupa setiap kejadian yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Kemalangan basikal dan kedatangan Kamal ke rumah ini telah disusun atur oleh ALLAH... sebab ALLAH hendak menjodohkan Rin dengan dia,” pujuk Hisham dengan panjang lebar.
Sharina terus teresak-esak. “Rin tak nak kahwin lagi...” rengeknya sambil teresak-esak. “Tak patut kawan abang pinang Rin! Rin tak kenal dia! Rin tak cinta dia! Macam mana nak terima dia?” Dalam esakan, dia terus merintih.
“Tak ada dalil atau nas yang mewajibkan perhubungan percintaan antara seorang lelaki dan wanita sebelum bernikah. Dah menikah dengan Kamal esok bercintalah sepuas hati!” tegas abangnya.
Sharina kehilangan kata-kata. 

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...