Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan lemas ketika
memancing bersama empat rakan di pinggir Sungai Perak, di sini.
Mohd Khalish berkata, kejadian berlaku apabila mereka masuk ke dalam sungai untuk mengalihkan kayu besar yang terapung.
Menurutnya, Ismail mengajak mereka menarik kayu itu dengan alasan ia
boleh dijadikan pangkin untuk mereka berehat di atasnya sambil
memancing.
“Kami berpaut pada kayu itu dalam keadaan badan di dalam air.
Bagaimanapun, pautan kami terlepas apabila kayu itu tiba-tiba berpusing.
“Saya sempat mencapai tangan seorang rakan yang berada di atas kayu itu
dan ketika itu saya dapat merasa tangan saya menggenggam tangan Ismail,
tapi saya tidak sedar bila pautan saya terlepas,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi rakan mangsa, Mohamed Noor Hafizz Hasnon,
17, berkata, dia segera menghulurkan tangannya apabila melihat rakannya
lemas, namun hanya dapat menyelamatkan Khalish.
“Kejadian berlaku terlalu pantas. Bila kayu besar itu bergerak, mereka
berdua terlepas pautan dan terus hanyut. Saya sempat capai tangan
Khalish dan menariknya ke atas.
“Saya cuba mencari kayu panjang untuk diberikan kepada Ismail, tetapi
tidak sempat. Saya nampak tangan dia timbul di permukaan sungai sebelum
hilang begitu saja,” katanya.
Menurutnya, Ismail memang bersungguh-sungguh mengajak mereka pergi memancing, semalam.
Bapa mangsa, Mazalan Abdul Wahab, 43, reda dengan kejadian yang menimpa
anak bongsunya itu walaupun anaknya itu masih belum ditemui.
“Kali terakhir saya bercakap dengannya pada jam 10 pagi tadi (semalam).
Dia meminta izin untuk ke Rawang, Selangor bagi menghadiri kenduri
rakannya,” katanya.
Ketua Polis Daerah (IPD) Sungai Siput Superintendan Azman Salim berkata,
anggota segera menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat dan Jabatan
Pertahanan Awam (JPAM) bagi membantu mencari mangsa. sehingga jam 6
petang, semalam, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan.
myMetro 20 Dis 2013
Tenggelam dihanyut arus deras
Anggota penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa. Gambar kecil : Muhammad Ismail Mazalan.
SUNGAI SIPUT - Hasrat lima sekawan memancing di pinggir Sungai Perak
bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka hilang dikhuatiri lemas
dalam kejadian berhampiran Jambatan Victoria, Karai, semalam.
Seorang remaja Muhammad Ismail Mazalan, 13, disyaki lemas selepas kayu
yang dipautnya terlepas dan menyebabkannya hanyut dibawa arus.
Salah seorang rakan mangsa, Mohd Khalish Mohd Khairi, 16, berkata, dia
sempat memegang tangan Ismail semasa mereka hampir hanyut namun tanpa
disedari pegangannya terlepas.
“Saya bersama-sama dengan dia (Ismail) turun ke dalam air. Mulanya kami
mahu mengalihkan kayu besar yang ada di kawasan ini kerana Ismail katan
dia nak buat pangkin (tempat duduk) supaya kami boleh berehat di
atasnya.
“Kami berpaut pada kayu itu dalam keadaan badan kami di dalam air. Bila
kayu itu berpusing, pegangan kami terlepas dan kami hanyut. Saya sempat
capai tangan rakan saya yang berada di atas.
“Masa itu saya dapat rasa tangan saya menggenggam tangan Ismail tapi
saya tidak sedar bila pegangan saya terlepas,” katanya ketika ditemui di
lokasi kejadian.
Dalam pada itu, seorang lagi rakan mangsa, Mohamed Noor Hafizz Hasnon,
17, berkata, dia segera menghulurkan tangannya apabila melihat rakannya
lemas namun dia hanya dapat menyelamatkan Khalish seorang.
“Kejadian berlaku terlalu pantas. Bila kayu besar bergerak, mereka
berdua terlepas kayu itu dan terus hanyut. Saya sempat capai tangan
Khalish dan tarik dia naik ke atas.
“Selepas itu, saya mencari kayu panjang untuk diberikan kepada Ismail
tetapi tidak sempat. Saya nampak tangan dia timbul tapi bila dia
tenggelam, dia terus tidak timbul-timbul lagi,” katanya.
Menurutnya, semalam mereka turut memancing di situ tetapi mereka tidak
turun ke dalam sungai sebaliknya hanya merendam kaki ke dalam sungai
tersebut.
“Ismail memang bersungguh-sungguh mengajak kami pergi memancing pada
hari ini (semalam). Kayu besar itu pun dia yang bersungguh-sungguh nak
alihkan sampaikan kami terpaksa tolong dia,” katanya.
Minta izin ke Rawang
Sementata itu, bapa Ismail, Mazalan Abdul Wahab, 43, reda dengan kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.
Menurutnya, dia mendapat panggilan mengenai perkara itu kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
"Saya terkejut menerima panggilan memaklumkan beita ini. Kali terakhir
saya bercakap dengan dia adalah pada pukul 10 pagi tadi. Dia meminta
izin untuk pergi ke Rawang bagi menghadiri kenduri rakannya.
“Masa itu, suara dia sangat gembira. Tak sangka pula ini yang terjadi.
Sekarang, saya cuma harap anak saya dapat dijumpai secepat mungkin,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Siput,
Superitendan Azman Salim memaklumkan, pihaknya menerima laporan
berkaitan kejadian tersebut kira-kira jam 1.30 tengah hari.
“Selepas anggota tiba di kawasan kejadian, anggota segera menghubungi
pihak bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela bagi membantu mencari
mangsa.
“Setakat jam 6 petang, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Mangsa yang disyaki lemas adalah seorang remaja berusia 13 tahun,”
katanya.
Sinar Harian 20 Dis 2013
Jaring mayat
ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat yang tersangkut pada jaring ikan. Gambar kecil Muhammad Ismail.
Sungai Siput: “Saya terkejut sebaik melihat mayat manusia sudah kembung
tersangkut pada jaring di dalam sangkar ikan,” kata Abdul Rahman Abu
Bakar, 58, yang menemui mayat remaja, Muhammad Ismail Mazalan, 13, yang
hilang selepas lemas sejak petang Khamis lalu.
Dia yang bertugas di Lembaga Koperasi Kospeta Malaysia Berhad menemui
mayat remaja itu ketika turun ke sangkar ikan di petak A berhampiran
tebing Sungai Perak, Kota Lama Kiridi sini, untuk melakukan pemeriksaan
rutin sekitar jam 8.30 pagi semalam.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat satu objek hitam terlekat
pada jaring di dalam sangkar ikan itu. Saya kemudian memerhatikannya
secara lebih dekat sebelum mendapati ia mayat manusia.
“Mayat itu berseluar pendek dan tidak berbaju. Saya yakin mayat itu
remaja lelaki yang dicari anggota penyelamat sejak petang Khamis lalu di
sepanjang Sungai Perak,” katanya.
Menurutnya, pasukan polis dan bomba kebetulan sedang melakukan tugas
mencari mangsa di kawasan berhampiran sangkar ikan itu. “Susulan itu
saya segera mengejar mereka dan menjerit memanggil anggota penyelamat
bagi memaklumkan penemuan mayat itu,” katanya.
Menurutnya, mayat remaja itu yang terapung di dalam sangkar ikan
kemudian dikeluarkan anggota penyelamat sebelum dihantar ke Hospital
Sungai Siput untuk tindakan lanjut.
“Penemuan mayat remaja itu amat mengejutkan dan saya bagai diberi
‘tanda’ awal. Malah saya tidak lena tidur sejak malam kelmarin tanpa
sebab. Hati saya kerap teringatkan sangkar ikan seolah-olah ada sesuatu
akan berlaku di situ,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput (Utara), Deputi
Superintendan Ernest John yang dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui
kira-kira empat kilometer dari lokasi dia terjatuh pada jam 1.30 tengah
hari, Khamis lalu.
myMetro 22 Dis 2013
Mayat tersangkut pada sangkar ikan
IPOH – Rasa gelisah dialami seorang pekerja sangkar ikan sejak malam
semalam rupa-rupanya petanda dia akan menemui mayat seorang remaja yang
dilaporkan hilang di Sungai Perak, di sini, Khamis lalu.
Ab Rahman Abu Bakar, 58, berkata, dia tiba-tiba sukar melelapkan mata
dan tidak sabar untuk turun ke sungai keesokan hari bagi meninjau
sangkar ikan yang diletakkan di tebing sungai berkenaan.
Menurutnya, dalam kejadian 8.30 pagi itu, dia meninjau satu petak
sangkar ikannya yang diletakkan di Kota Lama Kiri, di sini, dan melihat
satu objek hitam tersangkut di situ.
“Saya menghampiri objek itu dan terkejut apabila mendapati ia adalah
tubuh manusia yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek.
“Menyedari kemungkinan mayat itu adalah remaja yang dilaporkan lemas,
saya segera memanggil pasukan menyelamat yang ketika itu membuat rondaan
kira-kira 50 meter dari lokasi penemuan” katanya.
Sementara itu, polis mengesahkan mayat ditemui itu adalah Muhammad
Ismail Mazalan, 13, yang dilaporkan hilang ketika memancing di pinggir
sungai berkenaan, 19 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim berkata, mayat
mangsa dijumpai kira-kira empat kilometer dari lokasi dia dilaporkah
hilang oleh orang awam.
“Kami mendapat maklumat mengenai penemuan itu kira-kira jam 9 pagi dan
pasukan menyelamat yang membuat rondaan segera ke lokasi dimaklumkan.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat,” katanya.
Susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat
melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam
Malaysia (JPAM) serta penduduk dihentikan.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan selepas solat Zohor di Kampung Perik, di sini, semalam.
Khamis lalu, hasrat lima sekawan memancing di pinggir sungai berhampiran
Jambatan Keretapi Victoria, Karai bertukar tragedi apabila seorang
daripada mereka dilaporkan hilang.
Muhammad Ismail dikhuatiri lemas selepas kayu yang dipautnya terlepas
dari pegangannya menyebabkan mangsa hilang dibawa arus deras.
Sinar Harian 22 Dis 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan