Isnin, 4 Mei 2015

TANGKAP ORANG YANG LANGGAR PAPA SAYA - ADIK NUR FIRUZA ANAK MANGSA KEMALANGAN MAUT LEBUHRAYA DUKE


KUALA LUMPUR 4 Mei - Atuk, tolong tangkap orang yang langgar ayah saya.”
Itu permintaan Nur Firuza Amira Fairuz Nizam,7, anak sulung mangsa kemalangan maut di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke), kelmarin kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang me- lawat mereka di Taman Batu Muda, di sini hari ini.
Nur Firuza Amira berkata demikian beberapa kali apabila ditanya Ahmad Zahid sama ada kanak-kanak itu mempunyai sebarang permintaan semasa mereka berbual dalam lawatan berkenaan kira-kira pukul 9 pagi.
Yang turut sama ketika itu ialah nenek mangsa, Normah Toso, 65, yang meriba cucunya.Adik Nur Firuza Amira, Nur Firuza Aqila, 4, yang turut berada di situ pula menyorok di sebalik anak patungnya dan hanya berdiam diri mungkin kerana tidak biasa dengan kehadiran orang ramai di rumah neneknya itu.
Selain berbual dengan kanak-kanak itu, Ahmad Zahid turut bertanya perkembangan dua beradik berkenaan dengan nenek dan ahli keluarga mereka yang lain. Beliau turut menyerahkan sumbangan kepada keluarga tersebut.
Sementara itu, Normah ketika ditemui merayu pihak polis menyiasat kes tersebut sebaik-baiknya agar mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.
Ujarnya, sejak peristiwa hitam yang mengorbankan anak lelaki serta menantunya itu, dua cucunya sering bertanya mengenai ibu dan bapa mereka.
“Saya hanya mampu mengalirkan air mata mengenangkan nasib yang menimpa cucu-cucu saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi kelmarin, Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, serta isteri, Nova Safitri Azhari,27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa yang berusia tujuh bulan maut setelah kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik di Lebuh Raya Duke.
Kejadian itu menyebabkan Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila menjadi yatim piatu sekelip mata.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid pula memberitahu, beliau akan berusaha mendapatkan bantuan pembiayaan persekolahan kedua-dua anak mangsa kemalangan itu bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin terutama dalam aspek pendidikan.
“Kita sedang berusaha mencari jalan terbaik untuk membantu dua beradik ini bagi meringankan beban mereka yang kini dijaga neneknya,” ujarnya.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...