Isnin, 11 November 2013

Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Hospital Langkawi




                                         LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR
                                             KE HOSPITAL LANGKAWI

ANJURAN : UNIT PENGURUSAN 
PENGENALAN
Program lawatan sambil belajar ke Hospital langkawi adalah  merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang untuk melaksanakan aktiviti Unit Pengurusan dan Program 5 S.  Program  ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman yang berguna kepada setiap peserta di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam tugasan harian.

OBJEKTIF

1.         Mengeratkan hubungan silaturrahim di antara Hospital Langkawi dan Unit Pengurusan  
            melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
2.         Meningkatkan pemikiran teknologi dan inovasi dalam Pengurusan Pejabat  di kalangan peserta.
3.         Mendedahkan hubung kait antara Hospital Pakar dan Tanpa Pakar kepada peserta.
4.         Meningkatkan pengetahuan 5 S di kalangan peserta.
5.         Menerapkan Pengurusan Pejabat yang berkualiti di kalangan peserta.

PENGENALAN PROGRAM
Program ini diadakan untuk mendekatkan hubungan silaturahim antara warga hospital dan Hospital Langkawi. Selain itu, dengan adanya program ini, diharap dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan tentang pengurusan Pejabat Hospital bagi Hospital Pakar dengan Hospital Tanpa Pakar serta  permikiran yang berinovasi dan kreativiti yang tinggi.

KUMPULAN SASARAN
Pembantu Tadbir dan Anggota Unit Pengurusan
Anggaran peserta : 25 orang

TEMA PROGRAM

Hospital Sungai Siput Ke arah Pengurusan Pejabat Berkualiti dan Ke Arah 5 S.
1.0  PENDAHULUAN

Program lawatan sambil belajar yang telah dirancang akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya pada 18 hingga 20 Mei 2012 ke Pulau Langkawi dengan melibatkan 23 peserta yang terdiri daripada Pembantu Tadbir Unit Pengurusan, Unit Rekod, Unit Stor, Pemandu Kenderaan, suami dan anak – anak staff.

18 MEI 2012 (Jumaat)

Pada petang 18 Mei 2012 semua ahli rombongan telah berkumpul di perkarangan bas untuk menaiki bas Hospital menuju ke destinasi yang telah ditetapkan pada jam 1.30 petang. Pergerakan kami telah menyusuli jalan ke utara Tanahair  untuk ke Jeti Kuala Perlis. Lebih kurang jam 6.00 petang kami tiba di Jeti Kuala Perlis. Dalam pukul 7.00 petang kami menaiki Feri MyFerry menuju ke Pulau Langkawi dan tiba di Pulau Langkawi pada pukul 8.15 malam. Kami terus check-in di Hotel Langkasuka untuk beristirehat dan menikmati makan malam di kedai berhampiran.

19 MEI 2012 (SABTU)

Jam 9.00 pagi rombongan kami bertolak ke Kilang Perusahaan Membuat Minyak Gamat di Mukim Kedawang. Peserta telah diberi taklimat ringkas oleh pengusaha Minyak Gamat tentang caracara memproses Minyak Gamat pada peringkat awal hingga kepada pembungkusan serta produk – produk lain  untuk dijual kepada pengunjungpengunjung pada hari berkenaan.

Jam 10.00 pagi rombongan kami bertolak ke Underwater World,  di sini kami telah disambut oleh pekerja syarikat berkenaan. Kami telah diberi taklimat mengenai Underwater World. Para peserta juga telah menyaksikan pertunjukan haiwan pada pukul 11.30 pagi dan melawat kehidupan haiwan hidupan dalam air di dalam persekitaran Underwater World.  Seterusnya peserta rombongan bebas untuk melihat kedai cenderahati yang terdapat di Underwater World untuk dijadikan buah tangan sehingga ke pukul 12.00 tengahari. Rombongan kami telah singgah di Beras Terbakar untuk menikmati makan tengahari dan seterusnya bersolat zohor. Lawatan ke Taman Burung sehingga pukul 3.00 petang. Lebih kurang jam 4.30 petang, berhenti sembahyang Asar di Kuah. Jam 5.00 petang kami meneruskan perjalanan dan membeli belah sakan di Pekan Kuah terutama untuk membeli pinggan mangkuk, coklat, cenderahati, baju t-shirt dan beg. Pemandu membawa kami berhenti di Dataran Lang bagi merakamkan memori indah di kawasan dataran yang ada Replika Burung Helang yang memang menjadi lambang kepada sesiapa sahaja yang berada di Pulau Langkawi. Pada malam harinya pula, semua ahli rombongan membeli belah di Gerbang Malam di Pekan Kuah. Pelbagai produk yang bebas cukai boleh didapati di sini dan begitu juga keenakan makan malam di Pekan Kuah.

20 MEI 2012 (AHAD)

Jam 8.00 pagi rombongan kami bertolak ke Hospital Langkawi. Rombongan kami disambut oleh Encik Mohd Shukri, Penolong Pegawai Tadbir Hospital Langkawi. Kami diberi penerangan ringkas mengenai sejarah Hospital Langkawi sehingga kini di mana hospital ini pernah menerima khidmat Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir sebagai Pengarah Hospital. Hospital Langkawi terletak di Bukit Teguh, Jalan Padang Mat Sirat iaitu 7 km dari Pekan Kuah dan 10 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Padang Mat Sirat. Ia meliputi kawasan seluas 53 hektar. Hospital ini mula memberikan perkhidmatan pada tahun 1915 yang terletak di Pekan Kuah.
Hasil dari usaha pembangunan dan taraf pulau bebas cukai yang semakin pesat dari semasa ke semasa, maka satu bangunan baru empat tingkat yang dilengkapi dengan kuarters kakitangan dan peralatan terbaru telah dibina mulai pada 9 jun 1993 secara turnkey oleh Skanska Pamara JV dari Sweeden dan siap sepenuhnya pada 15 November 1995, dengan menelan kos pembinaan sebanyak RM 72 juta.
 
      Hospital ini mula beroperasi di tapak baru dan berpindah dari tapak asal pada 22 November 1995 dengan bilangan katil sebanyak 110. Ianya menyediakan perkhidmatan rawatan pesakit dalam (Wad-wad dan Wad ICU, SCN, Dewan Bedah, Unit Suci Hama [CSSU]), dan pesakit luar, iaitu Jabatan Kecemasan dan Klinik Pakar (Kaunter Bersepadu). Perkhidmatan-perkhidmatan lain yang disediakan ialah Farmasi, Patologi, Forensik, Pengimejan dan Diagnostik,  Physiotherapy dan Occupationaltherapy, Unit Rekod Perubatan, Perpustakaan Perubatan, Unit Kualiti, Haemodialysis, Dietetik dan Sajian, Unit Teknologi Maklumat & Support Service Unit (Kejuruteraan Hospital). Pada 22 Februari 2002 hospital ini telah dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman. 
Kami berpeluang melawat sekitar kawasan Hospital Langkawi dan persekitaran Unit Pengurusan. Yang menariknya di Hospital Langkawi ini ialah ada disediakan kerusi mengurut Gintell di mana kita perlu memasukkan bayaran sebanyak RM1 atau RM5 atau RM10 bergantung kepada berapa lama kita nak diurut dari kepala hingga ke kaki. Kemudahan ini memang disediakan banyak tempat di Pulau Langkawi bukan sahaja di Hospital Langkawi malahan di hotel – hotel serta pusat membeli belah. Jika kemudahan ini ada di Hospital Sungai Siput, mungkin pesakit yang datang atau waris pesakit boleh menikmati kemudahan ini. Kami rasa berbesar hati dengan penerimaan kunjungan kami oleh warga Hospital Langkawi dan sebagai tanda kenangan dari Hospital Sungai Siput, kami menyampaikan cenderahati berupa labu sayong lambang Kuala Kangsar dan Encik Mohd Shukri juga turut menyampaikan cenderahati untuk Pengarah Hospital Sungai Siput. Semoga lawatan ini dapat mengeratkan ukhwah antara jabatan dan komuniti di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia.

2.0  KESIMPULAN

Secara amnya, program ini telah berjaya mencapai tujuannya bagi menjalinkan hubungan mesra antara warga Unit Pengurusan yang terdiri daripada staf dan keluarga staf disamping merapatkan ukhwah dan tali persaudaraan sesama ahli serta antara hospital. Sepanjang perjalanan ini dapat memupuk semangat kerjasama dan hubungan kekeluargaan yang harmoni sesama ahli rombongan dalam menimba dan meningkatkan ilmu pengalaman dalam suasana santai dan ceria. (Lampiran 1 untuk Gambar Kenangan)

 Disediakan oleh

Setiausaha Lawatan

















Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...