Malam itu, Kamal sukar untuk melelapkan mata. Ingatannya
terhadap Sharina sukar ditepis. Senyuman manis gadis itu menggetarkan kalbu.
Kemanjaan Sharina sewaktu berbicara dengan abangnya bagaikan terngiang-ngiang
di telinga Kamal. Apatah lagi membayangkan sepasang matanya yang indah.
“Tergamak Hisham sembunyikan
adiknya daripada aku selama ini. Langsung dia tidak pernah bercerita yang dia
ada seorang adik perempuan yang begitu cantik, comel,” rungut Kamal sambil
bergolek-golek di atas tilamnya. Hatinya benar-benar ingin memiliki gadis itu.
Malam itu,
Kamal menunaikan solat sunat istikharah. Semoga apa yang dia rasa ini ada
kebaikan di sebaliknya dan diberi hidayah serta petunjuk.
Malam itu juga,
dia bermimpi berkasih dengan Sharina. Hujung jari gadis itu diciumnya mesra.
Saat dia ingin mengulangi ciumannya, Sharina tiba-tiba lenyap. Dia terjaga dari
tidur dengan perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Selepas solat subuh pada
keesokan hari, Kamal terus menghubungi emaknya di Ipoh.
“Assalamualaikum, emak...”
sapanya lembut.
“Waalaikumussalam... awalnya
telefon mak?” tanya Mak Cik Mariah. Dia baru sahaja selesai solat subuh. Kain
telekung pun masih membaluti tubuh.
“Pukul berapa sampai ke Melaka
semalam? Tak telefon mak pun dah sampai!” tanyanya lagi.
“Saya penat sangat, mak. Sampai
ke rumah, saya terus tertidur,” beritahu Kamal tenang. “Saya ada hal nak
beritahu mak ni.” Sekejap lagi pasti dia kena sembur dengan emaknya.
“Hal apa? Kamal tak jadi nak
putuskan pertunangan dengan Rita ke?” soal Mak Cik Mariah teruja.
“Kenapa pula emak terfikir macam
tu? Hati anak emak ni bukannya lalang,” jawab Kamal berkias. Pada waktu itu,
nama Rita sudah terhakis terus dari hatinya.
Kini yang sedang bertapak kuat di laman hatinya ialah ukiran nama
Sharina Kamaruzaman.
“Emak dah pergi pulangkan cincin
dan barang-barang hantaran tu semalam. Menangis Rita,” cerita Mak Cik Mariah.
Sengaja dia mereka cerita walhal sewaktu dia datang, Rita pun tak ada di rumah.
Ungkapan kata-kata yang dilafazkan sekadar ingin menimbulkan rasa bersalah di
dada anak terunanya.
“Eeii... buat apa dia nak sedih,
mak? Boyfriend dia ramai! Macam suis lampu kat depan saya ni. Mana-mana
yang dia nak nyalakan, dia petik atau tekan aje suisnya,” gurau Kamal.
Sedikitpun dia tidak percaya yang Rita akan menangisi ikatan pertunangan mereka
yang terlerai itu.
“Tergamak mengata Rita macam tu.
Apa dosa dia pada Kamal?” tanya Mak Cik Mariah yang mula naik angin. Sudahlah
hatinya kecewa kerana tidak dapat bermenantukan Rita, Kamal pula memperolokkan
percakapannya.
“Emak...” panggil Kamal. Dia cuba
mengumpul kekuatan untuk meluahkan isi hatinya. Dia pasti emaknya akan
terkejut.
“Tak usahlah bangkitkan hal Rita
lagi. Saya ada hal nak ceritakan pada emak ni,” beritahu Kamal cepat-cepat
sebelum emaknya terus melalut.
“Hah! Ceritalah cepat. Mak ni nak
pergi pekan!” desak Mak Cik Mariah. Dia sudah berjanji dengan jirannya untuk ke
kedai emas. Duit hasil kebun getah tinggalan arwah suaminya banyak yang sudah
terkumpul. RM6000 cukup baginya untuk membeli dua utas gelang tangan.
“Emak ni, subuh-subuh lagi nak ke
pekan buat apa? Tauke kedai pun tengah
buat tahi mata lagi, mak!” balas Kamal.
Sengaja hendak mengusik emaknya.
“Cepat ceritakan hal kau
tadi. Kalau tak, mak letak telefon ni!”
ugut Mak Cik Mariah dalam nada serius.
Kamal tergelak kecil mendengar
ugutan emaknya itu. “Emak, saya nak kahwin...” beritahu Kamal tanpa
berselindung lagi. Bagaikan terlerai bebanan di atas bahunya sebaik sahaja dia
berterus terang dengan emaknya.
“Hah!” rengus Mak Cik Mariah.
“Kau ni Kamal, nak main-mainkan orang pulak! Sekejap nak putus tunang, sekejap
nak kahwin! Apa kata Rita nanti? Ingat Rita tu anak patung ke?” marah Mak Cik
Mariah. Perasaannya mula terbakar dengan kerenah Kamal.
“Saya bukan nak kahwin dengan
Rita, mak...” jawab Kamal. Dia terus menjelaskan perkara yang sebenar.
Mak Cik Mariah terkejut. ‘Baru
sehari dua putus tunang kini hendak meminang gadis lain pulak?’ rungutnya.
Gagang telefon dipegangnya erat-erat.
“Emak tak setuju!” bantah Mak Cik
Mariah. “Rita tu dah elok, sesuai sangat dengan kamu... yang kamu pergi
putuskan pertunangan dengan dia buat apa?” Permintaan Kamal pada pagi itu
benar-benar membuatkan dia panas hati.
“Alah, mak... kenapa mak tak
faham dengan anak mak ni? Kalau saya kahwin dengan Rita jugak, saya akan
menderita seumur hidup. Zahir dan batin,” jelas Kamal. Hatinya mulai bimbang.
Jika emaknya terus membantah, segala impiannya akan punah.
“Kamu belum kenal budak perempuan
ni betul-betul, kamu dah kata dia baik, Kamal. Kamu ingat buah mempelam yang
cantik dan halus kulitnya, tak berulat ke di dalam?” tanya Mak Cik Mariah pula.
Dia tetap tidak bersetuju dengan keputusan anak bujangnya itu.
“Okey. Kalau macam tu, saya tak
mahu kahwin sampai bila-bila,” jawab Kamal selamba. Sengaja untuk bergurau.
“Kamulah rugi!” perli Mak Cik
Mariah. Sakit pula hatinya mendengarkan kata-kata anak bujangnya itu.
“Sampai hati mak buat saya macam
ni! Saya ingat... saya anak bongsu... mak akan sayang saya,” kata Kamal
pura-pura merajuk, macam budak lelaki berumur lapan tahun.
“Rupa-rupanya mak langsung tak
sayang saya,” kata Kamal dengan nada sedih dan sebak.
“Saya nak kahwin dengan gadis
pilihan saya pun, mak tak bagi,” sambung Kamal lagi dengan suara bergetar. “Nak
buat macam mana!” keluhnya pula. “Biarlah saya membujang sampai mati,” rintih
Kamal. Suaranya perlahan seolah-olah berjauh hati.
Mendengar kata-kata Kamal dan
keluhan anaknya itu, Mak Cik Mariah terpaksa mengalah. Tambah-tambah pula
apabila Kamal menyebut perkataan mati.
“Yalah... kali ni emak ikut cakap
kamu. Tapi, lain kali cakap emak jangan sesekali kamu bantah!” Setuju Mak Cik
Mariah bersyarat. Keegoannya sebagai ibu yang melahirkan mula menyerlah.
“Insya-ALLAH, emak... Saya takkan
bantah cakap emak. Selagi emak tak menyuruh saya melakukan perkara yang
membelakangkan agama. Merosakkan akidah! Mengenepikan ALLAH,” jawab Kamal
senang.
“Kamu tu tak ada modal lain!
Asyik nak ungkapkan benda yang sama aje,” bidas Mak Cik Mariah pula. Sakit
hatinya mendengar kata-kata anaknya itu.
“Bila nak pergi meminang tu?”
tanya Mak Cik Mariah deras. Kehendak Kamal terpaksa dituruti walaupun hati
tidak merelakan.
“Nanti saya beritahu emak!” jawab
Kamal girang. Lakonannya yang mudah itu berjaya juga mempengaruhi emaknya.
Mudah-mudahan ALLAH akan mempermudahkan jalannya untuk memiliki gadis itu.
Hisham tersandar
di kerusi di pejabatnya. Dia baru sahaja menerima panggilan telefon daripada
Kamal.
“Gila kau Kamal! Aku kena tanya
dia dulu! Emak aku lagi,” jawab Hisham sambil menggaru-garu belakang
telinganya.
“Aku nak melamar Rin bukan nak melamar
emak kau!” jelas Kamal, bimbang pula Hisham tersilap dengar. Mak Leha emak
Hisham pula seorang janda. Tak pasal-pasal pula dia menjadi bapa tiri
sahabatnya itu.
Hisham ketawa mendengar lontaran
kata-kata Kamal itu. “Ya ALLAH, aku fahamlah, Kamal. Tapi kau ni bagilah aku
bernafas sikit. Fikir dengan tenang dulu!” ungkap Hisham. Kamal ingin melamar
Sharina dan ingin menikahinya dalam tempoh seminggu. Keinginan drastik Kamal
itu begitu mengejutkannya. Hisham terkenang pula kepada Sharina adiknya. Adiknya
yang manja. Yang cantik. Yang katanya tidak mahu berkahwin. Tapi sampai bila
dia begitu? Tidak mahu berkahwin? Jika tidak sekarang bila lagi? Perkahwinan
bukannya suatu perkara yang dilarang, bahkan suatu ikatan yang mulia.
Perkahwinan itu satu ibadah. Dan di antara ciri-ciri wanita yang diberkati oleh
ALLAH ialah yang rengan jodohnya.
“Rin dah ada kekasih ke?” tanya
Kamal terus terang. Kalau hati Sharina sudah dimiliki, hancurlah harapannya.
“Atau dah ada orang risik-risik?” soal Kamal lagi.
“Kekasih memanglah tak ada. Sharina tu pemalu”.
Lega perasaan Kamal apabila mendengar jawapan Hisham itu.
“Tapi yang merisik memanglah dah
ramai! Sejak dia di tingkatan lima lagi,” cerita Hisham.
Berderau darah Kamal apabila
mendengar kata-kata itu. Bagaikan tersekat nafas yang melalui hidungnya.
~~~~ bersambung~~~~
Dapatkan novel ini di pasaran atau beli di http://mall.karangkraf.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan