Ahad, 10 November 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 4)



Rezeki ALLAH tidak terbatas.  ALLAH memberi rezeki kepada semua makhluk sejak dari zaman nabi Adam a.s hingga kiamat. Kekayaan ALLAH swt tidak pernah berkurang walaupun sedikit. Itulah bisikan halus yang meniti hati kecil Sharina sewaktu dia melihat bahan-bahan masakannya. Kari ikan sembilang dengan terung bulat menjadi menu utama hidangan pada tengah hari itu.
“Kenapa nak masak banyak-banyak hari ini, emak? Kita kan tiga orang aje?” soal Sharina sambil memuncung manja kepada emaknya. Kulit pipinya yang halus tampak kemerahan kerana sibuk menyediakan bahan-bahan masakan dari tadi.
“Dah abang Rin suruh masak. Ikut ajelah apa yang dia nak,” jawab emaknya sambil menghulurkan udang yang sudah dibuang kulitnya kepada Sharina. “Udang ni buat sambal,” suruhnya.
Sharina menganggukkan kepalanya. Mak Leha tersenyum. Anak gadisnya itu walaupun manja, namun pandai memasak dan menguruskan rumah. Rajin orangnya.
“Abang nak bawa girlfriend dia berkenalan dengan emak ke?” tebak Sharina sambil ketawa. Abangnya Hisham, sudah berumur 27 tahun. Usia yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga. Tapi kalau abangnya berkahwin hilanglah tempat dia bermanja. Semenjak ayah mereka meninggal dunia, pada Hishamlah tempat dia bermanja selain daripada emak.
“Tak tahulah, emak! Tak ada pulak dia beritahu begitu.Tapi, dia suruh masak lebih sikit,” jawab Mak Leha sambil merenung sayang kepada anak gadisnya. Sharina yang baru menginjak usia 19 tahun. Namun, perangai masih kebudak-budakan.
“Rin tak sukalah kalau abang ada girlfriend,” rengek Sharina sambil menyiang bawang merah. Matanya pun sudah pedih dan berair.
Bulat mata Mak Leha memandang Sharina sebaik mendengar kata-kata itu. “Habis tu kalau tak ada girlfriend macam mana nak kahwin? Rin nak biar abang jaga Rin aje? Sampai dia jadi anbutu?” soal Mak Leha sambil ketawa.
“Anbutu pulak! Emak ni nak ke abang jadi anak bujang tua? Rin taklah berniat begitu, tapi kalau abang kahwin... Rin nak bermanja dengan siapa lagi?” tanya Sharina meluahkan isi hatinya.
“Oh... sebab Rin nak bermanja, abang tak boleh kahwin.Apa susahnya! Nanti Rin kahwin, bermanjalah dengan suami Rin,” usik Mak Leha.
Wajah Sharina automatik bertukar warna merah jambu dan tertunduk malu. “Mak! Rin tak nak kahwinlah. Rin nak jaga mak,” jawab Sharina memanjang. Bibirnya mula tercebir-cebir. Hatinya memang tidak tahan apabila memikirkan tentang perkahwinan. Dia tidak sanggup berjauhan dengan emaknya. Alangkan tawaran memasuki ke universiti pun sanggup ditolaknya inikan pula soal perkahwinan. Tidak! Hatinya telah meletakkan tanda noktah. Emak adalah segala-galanya. Tambahan pula sekarang ni susah hendak mencari lelaki yang benar-benar bertanggungjawab. Kerap sangat dia membaca di surat khabar, kes-kes suami mendera isteri. Suami yang tidak bertanggungjawab. Sharina jadi takut dan fobia dengan perkataan ’kahwin’.
Mak Leha melambakkan tawanya mendengar kata anak kesayangannya itu. Tambahan apabila melihat Sharina yang tercebir-cebir menahan tangisan. Namun hatinya turut tersentuh kerana Sharina sanggup mengorbankan diri demi menjaga dirinya.
“Mana-manalah, Rin. Entah-entah esok lusa ada orang datang meminang, Rin meronta-ronta, terkinja-kinja minta kahwin! Mak... kahwinkan Rin, mak!” gurau Mak Leha sambil ketawa kuat hingga mengalir air matanya.
“Alah, mak ni... suka menyakat Rin. Anak mak ni tak mudah jatuh cinta,tau! Bukan mudah orang nak miliki hati anak mak ni,” sampuk Sharina lalu bangun dari kerusi di meja makan. Kari yang ditumis tadi sudah hampir mengering di dalam periuk. Cepat-cepat dia memasukkan santan ke dalam periuk itu.
“Yalah...” Mak Leha mengiakan sahaja kata-kata anaknya itu. Hatinya berasa runsing memikirkan kedegilan anak gadisnya itu. Jika benar-benar Sharina ingin menjadi andalusia? Hati Mak Leha diburu resah. Sharina meneruskan tugasnya menumis bahan untuk sambal udang pula.

“Assalamualaikum,” sapa Hisham sebaik sahaja masuk ke ruang dapur. Dia baru balik dari bandar Ipoh. Hidungnya kembang kempis menghidu bau masakan yang semerbak menusuk hidungnya. Hisham terbersin beberapa kali.
“Waalaikumussalam,” jawab Mak Leha dan Sharina serentak.
“Ya ALLAH, apa lagi tu bang? Buah-buahan? Kan Rin dah masakkan puding untuk pencuci mulut?” leter Sharina. Semalam lagi Hisham menyuruhnya membuat puding permata, resipi kegemarannya.
“Tak apa, Rin! Buah-buahan ni abang beli untuk Rin! Rin dah tak suka makan buah mangga ke? Mangga madu ni... empat ringgit sekilo. Abang beli lima kilo. Nanti Rin pergi sedekah pada jiran-jiran sebiji dua,” beritahu Hisham sambil berjalan menghampiri Sharina yang sedang merasa semua masakannya.
Hisham membuka tutup-tutup periuk di atas dapur melihat isi juadahnya. Dia tersenyum dan berpuas hati.
“Abang... siapa yang nak datang ni?” tanya Sharina kerana tidak sanggup lagi berteka-teki di dalam hatinya.
“Girlfriend abanglah...” jawab Hisham sambil menyengih.
Sharina memuncungkan bibirnya sambil menjeling manja. Dia tahu abangnya hanya bergurau. Mak Leha ikut ketawa dan menjuihkan bibirnya.
“Ada orang cemburu pada abang dia,” beritahu Mak Leha.
“Pulak! Nak cemburu buat apa? Abang pun macam lelaki lain jugak. Ingin hidup berpasangan. Tak begitu, mak?” kata Hisham sambil mengenyitkan mata kepada emaknya.
“Alah!” rengus Sharina. “Dah ada pasangan, dah kahwin, tak adalah abang nak manjakan Rin lagi!” rungutnya dengan nada merajuk sambil mencedok sayur yang sudah masak ke dalam mangkuk.
“Tak usah marah-marah. Nanti muka berkedut macam mak nenek!” seloroh Hisham sambil menarik telinga adiknya.
“Tak usah risaulah, Rin. Rin bermanjalah dengan abang sampai Rin ada suami. Selagi Rin tak kahwin, abang pun tak mahu kahwin jugak...” kata Hisham.
“Baru betul! Calit sikit!” pekik Sharina sambil ketawa dan mencalit ibu jarinya kepada jari Hisham.
“Tapi, Rin tak nak kahwin!” beritahunya pula dengan suara nakal. Hisham membeliakkan matanya seketika sambil ketawa besar.
Getaran di telefon bimbit menandakan ada sms yang masuk menghentikan tawa Hisham. Dia cepat-cepat membacanya. Bibirnya tersenyum gembira.

Aku ada di depan tangga rumah kau ni

                               ~~~~~bersambung~~~~

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...