Ahad, 10 November 2013

SANA MENANTI,SINI MERINDU (BAB 3)

 


Gerimis sejak semalam menyebabkan cuaca pada subuh itu agak dingin. Namun, kedinginan itu gagal mengikat Hisham supaya terus menikmati  keenakan diulit selimut dan bantal. Mendengar suara azan, matanya terus tercelik untuk mengabdikan diri kepada DIA yang telah menciptanya dengan penuh rasa cinta dan belas kasihan. Sesungguhnya, matlamat ALLAH menciptakan manusia memang untuk beribadah sepenuh hati kepada-NYA.
Selesai menunaikan solat subuh, Hisham membantu emaknya di dapur. Sementelah hari itu hari Ahad. Sementara usia emaknya masih tersisa, Hisham tidak ingin melepaskan peluang untuk berbakti kepada emak yang telah melahirkannya ke dunia ini. Terlalu besar pengorbanan seorang ibu kepada anaknya. Jika dilambakkan segunung emas permata yang ada di dunia ini pun tidak akan terbayar segala jasa yang telah diberikan ibu kepada anaknya hatta setitik air susunya pun.
“Pergilah sambung tidur, Sham... tak payah tolong emak di dapur ni,” tegur Mak Leha sebaik sahaja melihat anak bujangnya sudah mengeluarkan teko untuk membancuh air panas buat sarapan mereka sekeluarga.
“Yang anak daranya masih memekap di dalam bilik,” bebel Mak Leha sambil merenung Hisham yang sibuk di dapur. “Rin dah bangun, Sham?” tanya Mak Leha. “Mak tak dengar suara dia lagi pagi ni,” ujar Mak Leha pula sambil menuang tepung gandum ke dalam mangkuk.
“Rin sakit kakilah, emak. Kalau tak, selepas subuh dia terus ke dapur ni. Dia dah bangun awal tadi, saya dengar dia mengaji,” jawab Hisham sambil tersenyum. Dia bersyukur kerana adiknya tidak pernah lupa membaca kitab suci al-Quran. “Semalam, adik tak tidur dengan mak ke?”
“Semalam, dia dah jadi budak besar,” jawab Mak Leha sambil ketawa. Pokok kucai yang sudah dipotong kecil-kecil dimasukkan ke dalam tepung yang sudah diadun dengan udang basah di dalam mangkuk.
“Agaknya dia tak mahu tidur emak terganggu dengan erangan dia... kasihan. Nasib baik bengkak kakinya tu dah surut sikit,” kata Hisham.
“Kalau tak surut, mak nak bawa ke tukang urut pagi ni,” balas Mak Leha. Memang dia bimbang kalau Sharina sakit. Maklumlah, anak bongsu.
“Sham, tolong masukkan minyak dalam kuali,” suruhnya.
Hisham segera mencapai botol minyak yang berdekatan lalu melakukan apa yang disuruh oleh emaknya.
“Assalamualaikum...”
Mak Leha dan Hisham menoleh. Sharina terhincut-hincut menghampiri mereka. Dia menyeringai manja kepada emak dan abang yang menumpukan perhatian kepadanya.
“Alah, bukan kerja abang buat cucur bawang ni... bak sini sudip tu,” katanya lalu menghampiri Hisham yang sedang membalik-balikkan cucur bawang di dalam kuali.
“Pergilah tidur. Kaki Rin, kan sakit!” marah Hisham sambil merenung adiknya dengan pandangan sayang. Dia menghalang Sharina daripada mengambil sudip di tangannya dengan cara mengangkat sudip itu tinggi-tinggi.
“Alah... Rin bukan nak pegang sudip dengan kaki,” jawab Sharina. Dia menggeletek bawah lengan abangnya sehingga Hisham menurunkan tangannya semula.
“Eeii!” Hisham mengacah tangannya seolah-olah ingin mencekik adiknya untuk bergurau.
Mak Leha ketawa melihat gelagat dua beradik itu.
“Rin tak usahlah nak berdiri lama-lama, nanti bentan! Rin nak kaki tu bengkaknya melarat sampai ke paha? Tak takut?” usik Mak Leha pula sambil tersenyum sayang kepada anak gadisnya itu.
“Mak ni nak takut-takutkan Rin...” rengek Sharina.
Mak Leha ketawa mengekek.Tangannya pantas membancuh Milo panas untuk mereka bersarapan.
“Biar kaki dia besar sebelah, mak...” usik Hisham pula lalu mencapai sebiji cucur bawang yang baru diletakkan oleh Sharina ke dalam pinggan besar di atas meja.
“Hisy, abang ni... tak sabar-sabar! Kan panas lagi!” pekik Sharina sambil mengekek melihat gelagat abangnya yang kepanasan memegang cucur bawang yang masih berasap.
Hisham hanya tergelak. Mak Leha pula tersenyum lebar. Melihatkan perhubungan baik dan kemesraan dua beradik itu hatinya sangat terhibur dan damai. Merekalah penawar hatinya.
“Tuuu... bunyi telefon Sham,” beritahu Mak Leha apabila terdengar sayup-sayup irama telefon bimbit Hisham.
Hisham berlari ke biliknya.
Nama Kamal Hanafi tertera di skrin telefon bimbitnya. Hisham menjawab panggilan telefon dengan gembira.
“Mimpi apa semalam? Subuh-subuh telefon aku!” gurau Hisham sambil ketawa mesra.
“Nasib baik aku hanya telefon. Kalau sebelum subuh tadi aku dah ketuk pintu rumah kau, lagi haru-biru,” gurau Kamal. “Semalam, aku datang ke rumah kau.” Kamal terus bercerita.
“Maaflah, Kamal... Aku pergi menziarah orang meninggal. Kau pun satu, sepatutnya sebelum kau balik dari Melaka kau telefon aku dulu. Beritahu bila kau nak datang,” marah Hisham. “Taklah sia-sia perjalanan kau. Buat rugi minyak kereta aje,” komen Hisham.
“Taklah sia-sia sangat.” Jawapan Kamal penuh bermakna. Kalau dia tidak pergi ke rumah Hisham semalam, tidaklah dia bertemu dengan gadis itu. Bayangan wajah gadis itu masih melekap di matanya. Ayu dan menawan. Semalaman dia gelisah dan tidak dapat melelapkan mata kerana terkenangkan insiden pagi semalam.
“Dah tertulis,” sambungnya lagi. Perlahan suara Kamal apabila mengungkapkan kata-kata itu. “Tiba-tiba selepas solat subuh semalam, aku teringat pelawaan kau tempoh hari. Aku pun apa lagi, lepas sarapan aje terus berdesup ke kampung kau.Cari punya cari, aku jumpalah rumah kau yang dikelilingi oleh pokok rambutan tu,” cerita Kamal.
“Tapi rumah kosong pulak! Sakit tekak aku memberi salam,” ceritanya lagi dengan nada ceria. “Telefon aku pula, tertinggal di rumah,” katanya lagi. Fikiran Kamal terus berlegar-legar memikirkan kata-kata mukadimah untuk menyampaikan maksud hatinya.
“Minta maaflah, Kamal...” kata Hisham dengan rasa bersalah dan terkilan kerana telah menghampakan sahabatnya.
“Tak apa, Sham. Aku tak salahkan kau. Setiap perkara yang berlaku tentu ada sebabnya, kan?”
“Betul tu, Kamal.” Setuju Hisham.
“Sebenarnya macam ni Hisham! Aku perlukan bantuan kau. Tapi nak bercerita di telefon aku rasa tak selesa pulak!” beritahu Kamal, bersuara serius. Dia menghela nafas dalam-dalam.
“Apa ceritanya? Bagilah klu sikit!” usik Hisham. Dia mendengar Kamal mengeluh kuat.
“Apa yang kau keluhkan ni! Berat benar bunyinya. Masalah yang sedang kau pikul ni ada sebesar gunung ke?” soal Hisham masih cuba bergurau.
“Aku... aku...” jawab Kamal tergagap-gagap.
Hisham menanti dengan sabar.
“Hatiku dah kena bedil!” Akhirnya terungkap juga kata-kata itu sambil diiringi ketawa. Terasa ringan bahunya serta-merta.
Hisham turut melambakkan tawanya. “Hei, kalau hati dah kena bedil dengan kau sekali hancur! Apa cerita sebenarnya ni, Kamal?” tanya Hisham. Dia cuba meneka-neka.
“Sham, aku dah jatuh cinta,” beritahu Kamal berterus terang. Dengan sahabat baiknya ini, dia tidak berasa segan sangat untuk meluahkan apa yang terpendam di jiwa.
“Jatuh cinta?” tanya Hisham sambil ketawa. Setahunya Kamal memang susah hendak mendekati perempuan. Hatinya liar susah untuk ditawan. “Kau jatuh cinta,Kamal?” soal Hisham sekali lagi bagaikan tidak percaya.
“Ya. Aku, Kamal Hanafi teman karibmu ini dah jatuh cinta, Sham!” tegas Kamal.
“Biar betul ni? Siapa gadis bertuah tu, Kamal?” tanya Hisham lagi.
“Kau boleh tolong aku tak?” tanya Kamal lagi selepas tawanya berhenti. Pertanyaan Hisham dibiar tanpa jawapan.
“Dah tentu boleh! Tapi aku kena tahu ceritanya seratus peratus, baru boleh tolong...” usik Hisham. Sengaja hendak mengenakan sahabatnya itu.
“Memang aku nak cerita, tapi di telefon ni rasa tak puas.”
“Kalau begitu datang makan tengah hari di rumah aku,” pelawa Hisham.
Kamal tersenyum lebar. “Okey!T api sekejap lagi aku dah nak balik Melaka,” beritahu Kamal dengan nada perlahan.
“Kalau hari Ahad minggu depan boleh tak?” cadangnya pula. Hatinya sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui tentang gadis kampung yang telah dilanggarnya pagi semalam. Jika boleh, dia ingin meminta bantuan Hisham untuk mengesan gadis itu.
“Boleh! No problem! Tak penat ke kau balik tiap-tiap minggu ni?”
“Penat tu memanglah penat! Tapi...” Kata-kata Kamal tersangkut di situ. Dia malu untuk mengungkapkan kata-kata seterusnya. Bila hati disapa cinta, jasad yang lesu, segar semula. Namun gadis yang sedang menyapa hatinya tidak diketahui milik siapa. Memanglah semua manusia kepunyaan ALLAH, tetapi di dunia ini setiap kelahiran umat manusia mesti ada ibu bapanya.
“Sham, kat rumah engkau, selain daripada emak kau... ada sesiapa lagi tak?” soal Kamal mengalih topik perbualan.
“Adik aku yang bongsu itulah,” jawab Hisham bersahaja.
“Okey, Hisham. Kita jumpa minggu depan. Assalamualaikum,” kata Kamal sebelum mengakhiri perbualan.

“Waalaikumussalam!” balas Hisham.


                           ~~~~~~bersambung~~~~~~~

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...