Angin malam berpuput lembut membawa deraian air hujan. Segala puji bagi ALLAH yang telah menurunkan hujan untuk membasahi bumi yang semakin kontang. Hampir dua minggu cuaca begitu panas terik.
Selepas solat isyak malam itu, Mak
Cik Mariah terus ke dapur menyediakan makan malam untuk anak bongsunya, Kamal
Hanafi. Anaknya balik bercuti hujung minggu. Dia yang sudah dua tahun bertugas
di Melaka sebagai jurutera.
“Kamal tu
kenapa, mak?” soal Ainun, anak keduanya.
Mak Cik
Mariah tersentak kerana tiba-tiba sahaja Ainun masuk ke dapur. Ainun yang duduk
di Johor bersama suaminya juga turut balik pada minggu itu. Ainun sudah
mempunyai dua orang anak.
“Asyik memerap di biliknya sejak
tengah hari tadi,” kata Ainun lagi sambil mengambil pinggan di rak dan
menyusunnya di atas meja. Seharian ini, dia masih belum mendengar suara adiknya
lagi.
“Entah! Angin tak betul agaknya.
Emak pun tak faham dan tak tahu kenapa,” beritahu Mak Cik Mariah sambil
menjeling Ainun. Ainun berbaju kelawar
warna oren. Mukanya sudah bertepek dengan bedak sejuk.
“Sejak tengah hari tadi memerap
dalam bilik tu macam anak dara,” omel Mak Cik Mariah. Dia terus memikirkan anak
bujangnya itu.
“Hmm...” Mak Cik Mariah tiba-tiba
mengeluh. Keluhannya itu menyebabkan Ainun mendongak memandang wajah emaknya.
“Kenapa emak mengeluh ni?” soalnya.
Mak Cik Mariah tidak menjawab.
Bukannya apa dia sendiri tidak tahu apa yang sedang memberat fikirannya.
“Masalah dengan Rita tu macam
mana? Ada emak pujuk dia?” tanya Ainun lagi. Kamal sudah bertunang dengan Rita
hampir setahun. Jangkanya mereka akan bernikah enam bulan lagi. Manalah tahu
emaknya mengeluh kerana memikirkan tentang masalah perhubungan Kamal dengan
tunangannya.
“Dia tetap nak putuskan
pertunangannya dengan Rita,” beritahu Mak Cik Mariah dengan suara tegang dan
kecewa.
“Ego betul Kamal ni! Sikit hal
sahaja dah nak putus tunang. Malu saya dengan Rita, mak...” kata Ainun. Dulu,
dia yang beria-ia memujuk Rita supaya menerima pinangan mereka.
“Kau ingat kau sorang aje malu!
Emak pun malu juga!” jawab Mak Cik Mariah. Sudah berbuih mulutnya memujuk Kamal
supaya memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh Rita dan meneruskan pertunangan
mereka. Namun, Kamal tetap berdegil. Terlerainya ikatan pertunangan antara
Kamal dan Rita akan menyebabkan dia rasa bersalah dengan arwah suaminya dan
arwah bapa Rita. Persahabatan antara Razak, suaminya dan Rahman, bapa Rita
sangat akrab. Mereka pernah tinggal sekampung sebelum keluarganya berpindah ke
Kampung Sungai Tapah.
Rahman telah menyelamatkan Razak
yang hampir lemas di Sungai Perak sewaktu sampan yang mereka naiki untuk
memancing bocor dan karam di tengah sungai. Setelah menyelamatkan Razak yang
tidak pandai berenang, Rahman pula mengalami kekejangan lalu hanyut dibawa arus
deras dan mati lemas.
Pada waktu itu Kamal berumur dua
tahun dan Rita berusia lapan bulan. Suaminya pula baru meninggal dunia enam
tahun yang lalu. Selama hayatnya, dia begitu mengambil berat terhadap Rita dan
Rokiah, balu Rahman yang tidak berkahwin lagi sejak kematian Rahman.
“Takkanlah kita pilih perempuan
yang tak elok untuk dia jadikan isteri,” sampuk Ainun.
Kenangan Mak Cik Mariah terhadap
arwah suaminya dan bapa Rita terpancung apabila mendengar suara Ainun yang agak
kuat.
“Perempuan yang elok tak pergi
tengok wayang dengan lelaki lain kalau sedar diri dah bertunang!”
Terpempan Ainun sejenak. Kamal
yang tiba-tiba muncul di dapur bersuara perlahan dan sinis. Dari tadi lagi dia
mendengar emak dan kakak mengumpat dirinya. Telinganya jadi sakit. Mengikut
kehendak emak dan kak ngahlah hampir setahun dia merelakan dirinya menjadi
tunangan Rita dan cuba untuk menerima gadis itu seadanya.
Emak dan kak ngah yang beria-ia
sangat untuk menjadikan Rita isterinya. Sedangkan hatinya belum menginginkan
kehadiran seorang perempuan. Lebih baik dia menumpukan perhatian untuk kerjaya,
mengumpul kekayaan, mencari ilmu dunia dan akhirat terlebih dahulu. Setelah itu
barulah dia bersedia untuk berkahwin. Umur pun baru 27 tahun. Masih muda lagi.
Rasa-rasanya empat atau lima tahun lagi, baru dia bersedia untuk berumah
tangga. Lainlah kalau bertemu gadis secantik bidadari yang dapat melunakkan
hatinya serta-merta. Tiba-tiba ingatannya melayang kepada gadis yang
dilanggarnya pagi tadi. Dadanya dipalu debaran.
“Alah, tengok wayang aje!
Bukannya buat apa-apa. Bukan salah besar pun! Tergamak Kamal nak putuskan pertunangan dengan Rita tu,”
sanggah Ainun sambil mencerlung memandang Kamal.
Kamal ketawa sinis. “Tak salah
besar bagi kak ngah. Tapi salah besar pada pandangan saya. Apatah lagi pada
pandangan ALLAH. Duduk dengan lelaki bukan mahram di dalam tempat gelap tu, kak
ngah boleh yakin ke yang kulit mereka tak bersentuh? Entah-entah dah jenuh kena
raba! Perempuan macam tu kak ngah dan emak nak suruh saya buat isteri? Tak
payahlah! Esok-esok dah jadi isteri saya, hmm... saya keluar ikut pintu depan,
dia keluar ikut pintu belakang pergi merambu.” Kamal terus meluahkan rasa tidak
puas hatinya.
“Sebenarnya Kamal sengaja cari
pasal, kan?” tebak Ainun.
Mak Cik Mariah mendengar sahaja
pertengkaran dua beradik itu.
“Kamal memang tak begitu setuju
pilihan emak dan kak ngah, kan? Jadi bila Rita buat kesilapan sebesar kuman pun
Kamal dah nampak sebesar gunung, kan?” Ainun menghambur rasa geram dan marah.
“Bukan saya mencari pasal! Rita
yang cari pasal! Bukan sekali dua dia keluar tengok wayang dengan lelaki lain.
Dah banyak kali. Setiap kali saya pergi ke rumahnya, emaknya kata, Rita keluar.
Bila saya telefon, dia pula mengaku. Tengok wayang dengan si A lah, dengan B
lah, dengan C lah... Eeii, perempuan jenis apa tu kak ngah?” soal Kamal
bersungguh-sungguh.
“Perempuan yang baik tak suka
duduk di luar rumah tanpa sebab, tak suka dedah-dedahkan dirinya di khalayak.
Dia tu perempuan Islam, bakal isteri saya...” bicara Kamal terhenti sejenak.
“Itupun kalau ada jodohlah,”
sambungnya pula.
Ainun menjeling tajam.
“Kalau saya beri nasihat, dia
kena dengar! Kalau waktu bertunang ni dia dah tunjuk keras kepala, nanti dah
kahwin macam mana?” soal Kamal sambil menyorot ke wajah kak ngahnya.
“Dia tak tahu ke orang yang
sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat akan mendapat penjagaan daripada
ALLAH,” sambungnya pula.
“Kau ni kalau pasal berkhutbah
nombor satu!” sindir Ainun sambil menjuihkan bibirnya kepada Kamal. “Alah,
perempuan lain tu keluar rumah jugak! Dedah diri kat khalayak jugak! Kalau tak,
macam mana nak bekerja, nak berkarier, nak berjaya kalau duduk terperuk kat
rumah!” tempelak Ainun.
“Itulah kak ngah tak faham.Tadi
kan saya kata, perempuan yang baik tak suka duduk di luar rumah tanpa sebab...
tak suka merambu!” Nada suara Kamal agak kuat kerana geram kepada Ainun yang
masih menyebelahi Rita.
“Dahlah tak bertudung!” Rungut
Kamal lagi. Hatinya memang tidak berminat langsung kepada gadis yang tidak
bertudung. Rita,sudah berulang kali dia menasihatkan supaya menjaga auratnya. Namun setiap kali dinasihati, jawapannya
sudah berkahwin esok, Rita pakai tudung. Belum mendapat seru katanya.’
Kamal pun kurang mengerti, seruan
bagaimana yang dimahukan oleh Rita. Belum cukupkah penjelasan di dalam
al-Quran, di dalam surah Nuur yang menerangkan kewajipan seorang wanita memakai
tudung?
“Ya ALLAH, soal tudung pulak yang
nak diperbesarkan! Tak bertudung tu soal kecil, Kamal!” sanggah Ainun walaupun
dia tahu Kamal pasti marah mendengar kata-katanya itu. Bertudung dan menutup
aurat, bukankah menjadi kewajipan bagi setiap wanita Islam?
“Dia tu Islam, ikutlah apa yang
telah ditentukan oleh ajaran agama. Kenapa nak meniru-niru pakaian orang
kafir?” Dia berasa kecewa juga apabila semua nasihat dibantah oleh tunangannya
itu. Kak ngah pun keras kepala macam Rita.
“Asyik nak tunjuk ketiak ke sana
ke sini! Kalau budak-budak umur dua tahun, comellah jugak!” rungut Kamal lagi
dengan nada sinis. Sakit matanya melihat gadis-gadis atau perempuan sebangsa
dan seagama yang suka memakai baju tidak berlengan menunjukkan bawah lengan
mereka.
“Hai, semua dah tak kena di mata
Kamal!” Sindir Ainun pula. Dia memang suka berdebat dengan adiknya itu sejak
dulu lagi. “ Kalau perangai ego macam ni, sampai tualah tak ada
perempuan nak dekat. Kuat cemburu pula tu! Alamat jadi bujang tualah...”
perli Ainun lagi.
“Mana ada perempuan yang
sempurna! Sedikit sebanyak mesti ada cacat celanya.” Ainun masih mempertahankan
Rita.
“Apa-apa ajelah kak ngah!” Kamal
percaya dan yakin ALLAH akan menjodohkannya dengan perempuan yang baik.
“Tak guna ada isteri kalau rumah
tangga macam lautan api panas bergelora. Saya nakkan isteri yang boleh memberi
ketenangan kepada saya. Bila saya penat balik dari kerja tengok muka isteri,
hati dah gembira dan sejuk,” hujah Kamal. Ingatannya melayang lagi kepada gadis
yang ditemuinya pagi tadi. Gadis yang tidak sempat ditanya namanya. Pertama
kali melihat dan mendengar suaranya, Kamal meneka yang gadis itu orangnya
manja.
“Piiirah!”
Ainun mengangkat sebelah tangan memperlekehkan adiknya itu. “Jangan-jangan
lepas putus tunang dengan Rita, tak ada perempuan yang nak sangkut hati dengan
kau,” senda Ainun lagi. Dia melihat Kamal dengan penjuru matanya. Kamal yang
hanya berbaju singlet menampakkan sebahagian bulu dadanya. Lelaki berbulu dada
sikapnya tegas dan kuat cemburu. Begitulah anggapannya. Takkan ada perempuan
yang tahan dengan kerenahnya. Pasti! bisik Ainun dalam hati.~~~~~~~Bersambung~~~~~~~~~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan