(BAB 1) - ALAF21
Langit biru terbentang luas dihiasi cebisan awan
yang putih bersih bak kapas. Matahari bersinar penuh kasih lantas mengeringkan
dedaun yang masih dibasahi embun.
Kamal meneruskan
pemanduannya perlahan-lahan di dalam kawasan desa itu. Matanya melilau memerhati
rumah yang ada di kiri kanan, satu per satu. Jalan yang dilalui berturap tar,
tetapi agak sempit. Hanya muat-muat untuk dilalui oleh sebuah kereta. Ini
pertama kali dia datang ke kampung itu untuk menunaikan janji dengan sahabat
baiknya, Hisham. Kini, dia sedang berusaha mencari rumah sahabatnya itu.
Angin yang menyentuh
kulit pipinya sebaik sahaja tingkap keretanya dibuka, terasa nyaman. Dia
menarik nafas puas-puas sambil memejamkan matanya sejenak. Nafas yang disedut
adalah satu tanda kasih sayang ALLAH kepada makhuk ciptaan-NYA. Hati kecilnya
mengucapkan kesyukuran.
Sudah agak jauh juga
dia memandu, namun rumah Hisham masih tidak kelihatan. Kamal terus memerhati
kalau-kalau ternampak kereta Hisham terparkir di halaman salah sebuah rumah.
Namun, dia kecewa. Pencariannya tanpa maklumat tepat seolah-olah bergerak di
dalam kabus.
“Keliling rumah emak
aku ada banyak pokok rambutan. Sekarang ni memang musim rambutan.” Kata-kata
Hisham terngiang-ngiang di telinganya.
“Hisy, semua rumah kat
sini ada pokok rambutan! Entah apa-apa Hisham ni, beri maklumat tak spesifik
langsung!” rungutnya. Lantas, dia meraba kocek belakang seluarnya mencari
telefon bimbit.
“Alamak, telefon
tertinggal pulak!” Kamal mengeluh perlahan.
Untuk menghilangkan
kebosanan, dia bersiul-siul kecil sambil matanya terus meliar. Fikirannya
menerawang entah ke mana.
“Arghhh!”
Tiba-tiba Kamal mendengar suara jeritan. Dia
tersentak. Terus dirinya disinggahi rasa panik. Keretanya seperti melanggar
sesuatu tadi. Dia membrek keretanya serta-merta. Rasa cemas membuak di dada.
Kamal segera keluar
dari kereta dan cepat-cepat pergi ke sebelah kiri keretanya. Bola matanya
spontan singgah ke tepi jalan yang berlalang. Seorang gadis terdampar mengiring
di situ. Gadis itu sedang berusaha untuk bangun, tetapi kakinya pula tertindih
oleh basikal. Terdengar rintihan gadis itu, perlahan di telinga Kamal.
“Aduhhh...” desis gadis
itu sambil menundukkan wajahnya.
“Ya Allah aku terlanggar budak ni pulak,”
bisik Kamal lantas meluru ke arah gadis itu. Spontan tangannya cuba memegang
tangan gadis itu untuk membantu mengangkatnya. Belum sempat dia menyentuh,
gadis itu menoleh kepadanya. Berderau darah Kamal sebaik memandang wajah gadis
itu. Walau dengan ekspresi wajah kesakitan, namun wajah itu amat memukau. Dia terus
menghulurkan tangannya hendak membantu. Namun, huluran tangannya terbiar begitu
sahaja.
“Maaf! Maaf, dik...
Abang tak sengaja!” ucap Kamal dan segera mengangkat basikal yang menindih kaki
gadis itu. Matanya menatap simpati wajah gadis itu yang mula memerah.
Jantungnya berdetak laju. ‘Cantiknya,’ desis hati Kamal.
Mata mereka bertaut
seketika. Terasa debaran di dada Kamal. Hatinya terpesona melihat wajah gadis
ayu berkulit putih kuning dan bertudung warna merah jambu. Sepasang matanya
yang indah membuat dada Kamal semakin bergetar.Bulu matanya lurus panjang dan
hitam. Mata lembut dan redup. Ulas bibirnya comel, merah delima. Pantas
tangannya dihulurkan sekali lagi untuk membantu gadis itu. Dia rasa bersalah.
Benar-benar bersalah.
“Maaf ya, adik...”
ulang Kamal lagi sambil merenung gadis itu yang diam membisu. Air mata yang
mula terhimpun di penjuru mata gadis itu semakin menambah rasa bersalah yang
membenih di hati Kamal.
“Aduhhh!” rintihnya
lagi dengan suara perlahan lantas berdiri lambat-lambat. Kamal mendekati,
tetapi gadis itu cuba melindungi kecederaannya. Mungkin kaki kanannya yang
tersepit di celah basikal tadi terseliuh. Punggung dan pahanya juga pasti
terasa sakit. Kamal terus memerhati gadis itu yang berjalan terhincut-hincut. Setiap kali melangkah,
dahinya berkerut menahan kesakitan.
“Kenapa encik langgar
saya? Bawa kereta dalam kampung ni tengoklah kiri kanan,” bidasnya dengan suara
sedikit bergetar dan serak. Dia menatap wajah Kamal seketika.
Kamal menjongketkan
kedua-dua bahunya dan memberi isyarat tangan kerana tidak tahu menjawab apa.
Mustahil dia sengaja hendak melanggar gadis cantik itu. Kamal sempat menjeling
lampu isyarat sisi kiri keretanya yang sudah pecah.
“Abang minta maaf, dik.
Abang tak sengaja. Rumah adik kat mana?
Abang hantar adik balik ya? Basikal adik pun dah rosak ni.” Kamal cuba
mengerakkan tayar basikal itu.Sayang sekali, tayarnya sudah tidak boleh
berpusing lagi kerana telah bengkok terkena hentaman tayar keretanya.
“Biar abang hantar adik
balik, ya!” ulang Kamal lagi. Dia merenung gadis itu dengan harapan gadis itu
menerima pelawaannya. Tambahan pula apabila melihat kolam mata gadis itu yang
mulai berkaca.
“Abang hantar ya,” kata
Kamal lagi terus mendesak. Harapannya terus melebar.
Sharina menggeleng
perlahan. Masakan dia menerima pelawaan lelaki yang tidak dikenali?
“Janganlah begitu.
Kalau tak nak abang hantar balik, abang bawa adik pergi klinik! Kaki adik
terseliuh tu,” pujuk Kamal lagi.
Sharina mengukir
senyuman nipis. ‘Pergi ke klinik lagi bahaya! Bukannya aku kenal dia.
Entah-entah orang jahat!’ bisik hatinya. Walaupun tidak berniat bersangka buruk
kepada pemuda itu, namun sebagai anak gadis, dia harus berhati-hati. Jangan
mudah terpedaya dengan pujukan lelaki yang tidak dikenali.
“Tak apa. Terima kasih,
encik,” jawab Sharina sambil merenung Kamal yang masih tercegat di hadapannya
dengan rupa yang resah gelisah. Sekali lagi mata mereka bertatapan. Sinar
keikhlasan seolah-olah terpancar pada pandangan mata gadis itu yang lembut dan
redup. Meskipun begitu, rasa bersalah yang melanda hati Kamal masih belum
terusir lalu dia mengambil dompet dari kocek seluarnya.
“Kalau begitu nanti
adik pergi klinik! Dan baiki basikal tu ya?” kata Kamal sambil menghulurkan
tiga keping not 50 kepada Sharina.
Sharina
menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak apa!Tak apa, encik! Perkara dah nak jadi,
nak buat macam mana?Musibah ini kecil sangat,” kata Sharina dengan suara lembut
tanpa merenung ke wajah Kamal. Dia berasa malu. Entah mengapa perasaannya rasa
asing. Jarang dia berbual dengan lelaki di luar kalangan keluarganya.
“Alah... abang ikhlas
ni! Kan abang yang langgar adik?” Jika diturutkan hatinya ingin sahaja Kamal memasukkan kepingan duit itu di
dalam genggaman tangan gadis ayu itu.
“Tak apa! Encik dah
tolong angkatkan basikal saya tadi. Memadailah tu... terima kasih,” ungkap
Sharina lagi.
Kamal menggaru-garu kepalanya sambil terus
merenung Sharina dengan renungan membujuk. Namun, gadis itu tetap dengan
keputusannya.
“Tapi...” Kamal masih
rasa bersalah. Membiarkan gadis itu di dalam keadaan terdengkot-dengkot begitu
dirasakannya sebagai satu kezaliman pula. Bukankah sesama insan kena saling
menolong?
“Tak apa, encik...”
pujuk Sharina pula apabila melihat wajah lelaki di hadapannya mulai sugul dan
gelisah. Sharina ingin segera beredar dari situ, tetapi pemuda itu masih
tercegat di hadapannya. Hendak memberitahu terasa segan, hendak beredar begitu
sahaja bimbang dikatakan tidak sopan pula. Akhirnya, dia berdiri mematung di
sisi basikalnya.
“Pinn!”
Sebuah kereta berhenti
di belakang kereta Kamal yang menghalang laluan. Kamal menoleh dan merenung ke
arah pemandu kereta itu dengan perasaan terganggu. Pemandu kereta memberi
isyarat kepada Kamal supaya mengalihkan keretanya. Mahu tak mahu, Kamal kena
beredar dari situ. Dia berasa serba salah untuk meninggalkan gadis itu
keseorangan di tempat itu. Tambahan pula dengan kakinya yang cedera dan
basikalnya pula rosak.
“Betul ni adik tak mahu
abang hantarkan ke rumah?” tanya Kamal sambil masuk ke keretanya.
Sharina sekali lagi
mengelengkan kepalanya. Gayanya nampak manja pada pandangan Kamal. Hatinya
semakin tersapa. “Betul?” ulangnya lagi. Kali ini, gadis itu menganggukkan
kepalanya pula menyetujui kata-kata Kamal.
“Maaf ya!
Assalamualaikum,” kata Kamal lalu
meninggalkan Sharina dengan hati yang berat. “Jumpa lagi,” katanya lagi sambil
tersenyum.
~~ bersambung~~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan